fbpx
MENTERI BESAR Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wang Ismail menerima sijil pengiktirafan MBOR di Pulau Pinang semalam.

PahangGo terima pengiktirafan MBOR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PULAU PINANG – Aplikasi PahangGo yang ditawarkan kerajaan negeri Pahang melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai aplikasi Kerajaan Negeri yang menawarkan perkhidmatan mudah alih dengan ciri terbanyak (Most Features States Government Mobile Aplications).

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Pengerusi PahangGo berkata, pencapaian tersebut membuktikan usaha kerajaan negeri dalam mendigitalkan perkhidmatan menunjukkan hasil yang membanggakan.

“Kita telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record kerana PahangGo telah mewujudkan pelbagai-bagai aplikasi untuk dalam menggunakan perkhidmatan kerajaan.

“Sebagai contoh dalam membayar cukai tanah, bayaran letak kereta, bayaran elektrik, bayaran air dan pelbagai lagi inisiatif dilaksanakan oleh PahangGo sebagai sebuah agensi yang diberikan mandat oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan Pelan Digital Pahang. Inilah satu usaha yang telah menampakkan keberhasilannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Indera Fadzilla Salleh dan Barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Menurut Mohammad Fakhruddin, selain kemudahan perkhidmatan, aplikasi tersebut turut memperkenalkan inisiatif baharu termasuk kerjasama dengan Pusat Kutipan Zakat Pahang bagi membolehkan rakyat menunaikan zakat serta melakukan wakaf secara dalam talian.

“Ini bukan sahaja memudahkan urusan zakat tetapi turut menyokong pembangunan agama di negeri Pahang. Inilah pendekatan ‘people centric’ yang menjadi teras aspirasi Pahang1st,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan e-wallet Pahang yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini.

“Akan datang nanti, kita sudah hampir untuk melancarkan e-wallet pula, e-wallet Pahang sebagai satu aplikasi baharu yang diwujudkan untuk memberi perkhidmatan yang terbaharu kepada rakyat negeri Pahang.

“Mungkin nama pun juga belum sediakan lagi, jadi saya cadangkan kepada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Affandi Mohd Isa) untuk mengadakan pertandingan untuk menamakan e-wallet kita ini,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI