MELAYARI perjalanan sambil menikmati keindahan sungai dan mengenali serba sedikit sejarah Batu Pahat, Johor merupakan antara aktiviti yang perlu dilakukan pelawat apabila berkunjung ke daerah itu .
Melalui kemudahan yang telah diperkenalkan sejak tahun lalu itu, setiap pelancong boleh memilih sendiri waktu perjalanan sama ada ingin menikmati suasana pagi, petang atau malam.
Pengerusi Tourism Batu Pahat, Qairy Maheran berkata, BP Cruise merupakan inisiatif daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) untuk meningkatkan produk pelancongan dan menghargai keindahan alam semula jadi melalui pelayaran di Sungai Batu Pahat.
Katanya, perkhidmatan yang ditawarkan meliputi Layar Alam iaitu pelayaran biasa sepanjang sungai untuk melihat alam semula jadi dan beberapa mercu tanda di Batu Pahat.
Antaranya seperti Pelabuhan Batu Pahat, Jambatan Tun Abdul Razak, Pelabuhan Barter Trade, Bangunan Rumah Kelab Jepun, Jeti Penambang, Tokong Si Hai Long Wang, Jeti Jabatan Perikanan, Zon Paya Bakau dan Kampung Nelayan Segenting.
“Turut dapat dilihat adalah kawasan habitat burung migrasi serta buaya, Gunung Banang, Jeti Nelayan Kampung Muhibbah, Pelabuhan Kuari, Pelabuhan Kelapa, Terminal Feri Minyak Beku, Pantai Minyak Beku dan Pulau Sialu.
“Layar Seri pula melibatkan pakej senja premium sewaan peribadi untuk acara seperti ulang tahun keluarga atau sesi fotografi dengan menyusuri laluan hingga Pantai Minyak Beku,” katanya kepada CitaRasa.
Menurut Qairy lagi, BP Cruise bukan sekadar aktiviti pelancongan biasa, sebaliknya sebagai satu bentuk terapi dan penghayatan.
Ujarnya, pengalaman mendekati alam dan warisan tempatan memberi peluang kepada mereka yang mengikuti pelayaran itu.
“Pelawat boleh menyaksikan keindahan flora dan fauna, sungai serta mercu tanda bersejarah di kawasan Zon Warisan dari perspektif laluan air.
“Apabila cruise membelah Sungai Batu Pahat dan deruan air memberikan kesan menenangkan. Ia sesuai untuk berehat daripada kesibukan harian, sejajar dengan konsep ‘river healing’.
“Pemilihan waktu perjalanan amat penting kerana pada setiap masa pelayaran, pelancong dapat melihat suasana berbeza,” katanya sambil memaklumkan, BP Cruise di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Batu Pahat.
Tambah Qairy, waktu atau suasana dicadangkan adalah bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk melihat suasana pagi yang dihiasi dengan pergerakan kehidupan masyarakat di sepanjang sungai untuk mencari rezeki.
Katanya, waktu-waktu lain adalah antara pukul 2 petang hingga 5 petang bagi melihat habitat hidupan sungai seperti buaya berjemur di tepi tebing terutama jika air surut.
“Sementara pada waktu senja iaitu antara pukul 5 hingga 8 malam, pelancong berpeluang mengabadikan kenangan berlatarbelakangkan matahari terbenam atau suasana malam di sepanjang sungai,” tambahnya.
Melihat kepada kecantikan serta pengalaman diperolehi, BP Cruise sememangnya mampu melengkapkan kunjungan pelawat yang ingin mengenali Batu Pahat dari perspektif berbeza dan lebih mendalam.
















