PETALING JAYA – Bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar hairan dengan tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menghukum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pemain warisan negara.
Hairuddin menjelaskan segala keperluan sudah pun dilunaskan mengikut kehendak FIFA dan semua pemain sudah pun mendapat lampu hijau untuk bermain daripada badan induk itu.
“Kita dah buat semua proses mengikut keperluan dan standard FIFA dan mereka telah meluluskan permohonan. Pemain juga boleh didaftarkan dan dibenarkan beraksi. Pelik!!,” katanya menerusi Instagram Story miliknya.
Tujuh pemain yang digantung 12 bulan dan denda adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Tindakan FIFA itu mengejutkan ramai pihak khususnya dikalangan peminat tempatan namun Hairuddin berharap segala urusan FAM akan dipermudahkan bagi memulihkan maruah negara.
“Tenang dan sabar. Lebih baik kita semua doakan ada berita gembira berlaku dalam proses rayuan,” katanya.
Berita ini menghadirkan pastinya menghadirkan kegusaran dikalangan peminat memandangkan Harimau Malaya akan turun menentang Laos awal bulan hadapan dalam Kelayakan Piala Asia 2027. – KOSMO! ONLINE