LONDON – Pengurus West Ham United, Graham Potter menjadi pengendali kedua dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dipecat musim ini selepas Nuno Espirito Santo.
Barisan kepimpinan tertinggi West Ham sudah hilang sabar dan enggan mengambil risiko untuk meneruskan khidmat Potter, 50, walaupun saingan musim ini baru bermula.
Bekas pengendali Chelsea dan Brighton itu gagal memastikan prestasi terbaik buat West Ham yang kini di tangga kedua tercorot menerusi satu kemenangan dan empat kekalahan daripada lima perlawanan.
Disebabkan itu, West Ham mengambil langkah drastik dengan memecat Potter biarpun pasukan itu dalam persediaan menghadapi aksi keenam EPL menentang Everton di Stadium Hill Dickinson awal pagi Selasa ini.

Ini bermakan Potter mengikut jejak Espirito Santo yang menjadi pengurus pertama ditunjukkan jalan keluar musim ini selepas didakwa tidak sehaluan dengan pemilik Nottingham Forest, Evangelos Marinakis.
Marinakis tidak mengambil masa lama apabila melantik Ange Postecoglou yang turut dilucutkan jawatannya hujung musim lalu meskipun berjaya mengemudi Tottenham Hotspur menjuarai Liga Europa.
“Prestasi dan keputusan sepanjang tempoh separuh kedua musim lalu dan permulaan kali ini tidak mencapai jangkaan. Ahli lembaga pengarah merasakan perubahan perlu dilakukan untuk meningkatkan kedudukan pasukan secepat mungkin.
“Kelab mengucapkan terima kasih kepada Graham dan barisan kejurulatihannya atas kerja keras mereka buat pasukan. Kini kami dalam proses mencari pengganti segera,” menurut kenyataan West Ham. – AGENSI