KUALA LUMPUR – Ribuan jemaah menunaikan solat hajat bagi mendoakan keselamatan pasukan Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini semakin menghampiri perairan Gaza.
Tinjauan Kosmo! di Masjid Negara hari ini menyaksikan ratusan jemaah bersama-sama mendirikan solat hajat selepas solat Jumaat bagi mengharapkan kelancaran perjalanan misi kemanusiaan yang membawa bantuan makanan dan barang keperluan daripada sebarang ancaman.
Ia turut disertai oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai simbol sokongan dan solidariti kepada sukarelawan dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, yang terlibat dalam misi membawa bantuan ke Gaza.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengajak seluruh masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk bersama-sama berdoa demi kelancaran misi kemanusiaan tersebut.
“Bersama kita lipatgandakan doa dan bersolat hajat semoga misi kemanusiaan GSF sentiasa dipelihara oleh Allah, diberikan kesejahteraan serta dipermudah segala urusan,” katanya.
Misi flotila tersebut kini dilaporkan menghampiri Zon Kuning, iaitu sempadan antarabangsa sebelum memasuki kawasan konflik yang dikawal ketat oleh rejim Zionis Israel.- KOSMO! ONLINE.