fbpx
Abdul Rahman (tengah) Nur Elisa (empat dari kanan) bergambar pada sesi sidang media khas di USM, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD / KOSMO!

Nur Elisa mahu ubah nasib susah keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kesempitan wang yang dihadapi keluarga sehingga terpaksa menjalani kehidupan serba sederhana tidak sesekali mematahkan semangat buat Nur Elisa Syuhada Syamsul Ikram, 20, untuk menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut anak kelahiran dari Kota Bharu, Kelantan itu, dia bersyukur apabila menerima tawaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (Tesol) menerusi Program Siswa Sulung.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, ini merupakan kali pertama dia berjauhan dengan keluarga sejurus tamat Tingkatan Enam di sebuah sekolah di Kelantan.

“Saya akan buktikan kemampuan demi mengubah nasib susah keluarga. Kehidupan harian kami boleh diibaratkan sebagai ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Pendapatan ibu dan ayah hanya cukup untuk kami makan anak beranak, memang tak ada simpanan.

“Sebelum ini memang saya banyak fikir jalan untuk cari duit, ibu juga risau tentang perkara sama. Mungkin tak dak (tiada) rezeki saya sambung tahun ini,” katanya kepada pemberita pada Sesi Sidang Media Khas Bersama Kemasukan Pelajar Baharu ke USM di sini, semalam.

Sesi media khas itu dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Beritahu Nur Elisa lagi, bapanya, Shamsul Ikram Mohd. Yasin, 47 bekerja di syarikat insurans, manakala ibunya, Siti Nazirah Mohd. Alias, 46​, merupakan kerani di sebuah syarikat swasta.

“Saya letak kepercayaan kepada Allah, saya banyak berdoa dan buat solat hajat. Dengan doa itu, saya akhirnya menerima bantuan Siswa Sulung dari USM. Keluarga dan kawan-kawan pun ada juga hulur bantuan.

“Saya nekad belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita sebagai seorang guru Bahasa Inggeris. Saya akan utamakan keluarga dan bahagiakan mereka nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, secara keseluruhannya, seramai 4,936 calon daripada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi, diploma dan setaraf dengannya mendaftar untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dan diploma di universiti itu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 3,378 akan mengikuti program pengajian di kampus induk di George Town, 919 di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan selebihnya iaitu 639 pelajar akan ditempatkan di Kampus Kesihatan di USM Kubang Kerian, Kelantan.

“Seramai 280 pelajar ditawarkan Program Siswa SULUNG pada sidang Akademik 2025/2026 dengan melibatkan kos berjumlah RM2.8 juta.

“USM turut memberi perhatian kepada golongan OKU dalam merealisasikan impian mereka untuk memperoleh ijazah. Sebanyak 17 calon OKU telah ditawarkan tempat di ketiga-tiga kampus USM dan mereka akan menikmati kemudahan kelas pertama di Desasiswa Aman Damai yang menyediakan fasiliti mesra OKU,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN