PUTRAJAYA – Kerajaan sedia mempertimbangkan rayuan golongan nelayan kecil, pekebun, pemilik perahu serta bot yang menggunakan petrol RON95 bagi memastikan mereka turut mendapat manfaat daripada program Budi Madani RON95 (Budi95).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memberi jaminan akan meneliti rayuan kumpulan itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyedari wujud kes tertentu seperti di Sabah, Sarawak dan Kelantan yang mana nelayan kecil atau pemilik perahu menggunakan petrol RON95 walaupun tiada lesen memandu di bawah nama mereka.
“Nelayan dan pekebun memang ada elaun khas, selain bantuan diesel tetapi jika ada yang benar-benar menggunakan RON95 untuk perahu atau bot, mereka boleh kemukakan rayuan.
“Saya jamin kerajaan akan bantu mana yang layak. Hal ini tidak membabitkan jumlah yang besar, jadi kita boleh pertimbangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Katanya, pertimbangan itu juga membabitkan kepada mereka yang memiliki atau menggunakan set generator serta mesin rumput.
Sementara itu, Anwar berkata, kemampuan kerajaan melaksanakan Budi95 adalah hasil daripada tatakelola baik serta langkah pembaharuan dasar yang berjaya menutup ruang ketirisan dan rasuah. – KOSMO! ONLINE