fbpx
Toman boleh menjadi ejen mengawal populasi ikan pendatang seperti PB.

Tanjung Tualang lokasi pancingan lombong pernah sohor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LOMBONG ini pernah mendapat julukan syurga pancingan pada suatu ketika dahulu dan menjadi tumpuan utama pemancing dari seluruh pelusuk negara. Namun lombong-lombong di Mukim Tanjung Tualang di daerah Kinta, Perak ini semakin terpinggir, dan ramai pemancing mula berubah arah ke lokasi-lokasi lombong di kawasan lain pula.

Walaupun terdapat pelbagai spesies ikan di sini, namun saya lebih tertumpu kepada ikan-ikan pemangsa kerana minat saya yang lebih kepada kaedah mengilat gewang (lure casting).

Boleh dikatakan hampir ke­semua lombong-lombong tinggal di sini mempunyai pelbagai ikan pemangsa dan populasinya semakin banyak selepas banjir besar pada tahun tahun lalu.

Selepas ditugaskan di sini, saya dapat lihat banyak lombong-lombong tinggal yang berpotensi dengan pelbagai spesies ikan untuk dipancing. Kebetulan, salah seorang sahabat saya, Along telah membeli sebuah bot aluminium jenama Kimple membuatkan kami mudah untuk akses ke kawasan-kawasan yang sebelum ini sukar untuk dipancing.

Toman raja lombong
Antara lokasi yang menjadi tumpuan kami memancing toman adalah lombong-lombong di sekitar Kampung Air Papan. Boleh dikatakan, kebanyakan lombong di sini mempunyai populasi ikan toman yang banyak. Pernah juga beberapa kali kami melihat ikan-ikan seperti tilapia dan jelawat yang tinggal separuh badan dibaham toman.

Terdapat sebuah lombong berdekatan kawasan kuari yang telah lama ingin kami cuba potensinya. Benar kata orang, trip yang dirancang di saat akhir lebih besar kemungkinan untuk menjadi, berbanding dirancang awal.

Seawal pukul 7.30 pagi, kami telah sampai ke lokasi dan pohon-pohon keladi bunting telah ditiup angin sehingga rapat ke kawasan kami ingin menurunkan bot.

Memandangkan kami telah pun sampai, maka kami meneruskan untuk meluncur bot di celahan keladi bunting yang agak rapat. Setelah berusaha hampir 15 minit, kami berjaya keluar ke kawasan lapang dan meneruskan usaha memujuk toman di sini.

Letupan gewang permukaan
Pada awalnya, kami banyak dihidangkan kelibat toman yang kerap bermain di permukaan air, namun hantaran pelbagai gewang tidak dihiraukannya. Kebiasaannya, apabila toman kurang agresif, saya akan mengeluarkan gewang keramat saya iaitu Duo Realis Pencil 110 kerana ia dapat mengeluarkan bunyi kuat apabila dimainkan di permukaan air.

Dari jauh, saya dapat melihat kelibat toman mengambil udara dan lontaran saya terus disambar dan ia memberikan perlawanan yang kuat. Toman dalam anggaran tiga kilogram (kg) berjaya saya naikkan.

Seterusnya, saya berjaya menaikkan seekor lagi toman menggunakan gewang ini, walaupun saiznya lebih kecil.

Jelawat agak rakus membaham gewang, namun saiznya tidaklah besar.

Setelah aksi toman kembali suram, kami cuba rapat ke tebing lombong untuk memancing peacock bass (PB), dan kami bersilih ganti menaikkannya walaupun bersaiz kecil.

Sekali-sekala, gewang yang kami hulurkan juga disambar jelawat saiz cilik yang agresif. Sekitar pukul 11 pagi, Along mula mengemudi bot ke arah lokasi kami mula memancing kerana banyak terdapat kelibat toman mengambil udara.

Lontaran soft plastic (SP) katak Along disambar toman, namun rabut. Saya terus menghantar gewang swimbait Fish Arrow Huddle Jack 125SS yang telah saya tambah colorado blade di bahagian belakang­nya.

Beberapa kali karauan, toman tersebut terus menyambar gewang saya dengan memberikan tentangan yang kuat kepada joran Kuying Conqueror 14-30lb digandingkan bersama kekili Abu Garcia Revo Big Shooter Compact.

Mujur saya berjaya menaikkan toman berskala 5 kg ini, walaupun mata kailnya hampir terkangkang.

Along terus bergurau mengatakan saya mencuri ikannya dan sekitar pukul 12 tengah hari, kami mula bergerak pulang.

Potensi Tanjung Tualang
Apa yang dapat saya simpulkan, lombong-lombong di Tanjung Tua­lang masih berbisa seperti zaman kegemilangannya dahulu.

Tidak dapat dipastikan sebab daerah ini semakin suram dan kurang dikunjungi pemancing.

Mungkin hasil yang semakin kurang menyebabkan berlaku hal ini, atau kekurangan lokasi-lokasi memancing yang senang diakses.

Bagaimanapun, selepas bebe­rapa kali turun, saya mendapati lombong-lombong di sini masih berpotensi, tetapi penggunaan bot atau kayak adalah lebih praktikal.

Selain ikan pemangsa, ikan-ikan seperti rohu, jelawat, patin, tongsan dan sebagainya juga masih banyak.

Mungkin suatu hari nanti Tanjung Tualang dapat diangkat sebagai kawasan ekopelancongan berasas aktiviti memancing memandangkan potensi yang tinggi di
sini.

Selain itu, usaha sama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta bersama-sama Jabatan Perikanan Negeri Perak juga dapat dilihat positif dengan penganjuran program mengurangkan ikan asing dan pelepasan benih ikan asal seperti lampam sungai, udang galah, baung serta sebagainya ke perairan umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN