PETALING JAYA – Persatuan Haulier Malaysia (AMH) menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan menyiapkan jajaran Seksyen 3 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa yang didakwa memberi kesan langsung terhadap industri logistik dan ekonomi negara.
Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata, kelewatan tersebut bukan sahaja menghalang pembukaan penuh laluan WCE, malah menjejaskan kelancaran aliran logistik dari utara ke selatan terutama ke Pelabuhan Klang.
“Kesan kelewatan ini tidak lagi terhad kepada satu seksyen, sebaliknya merencatkan aliran logistik dari utara ke selatan, termasuk jadual penghantaran ke Pelabuhan Klang.
“Akibatnya, masa perjalanan menjadi lebih panjang, kos bahan api melonjak dan risiko kemalangan turut meningkat.
“Semua ini akhirnya menekan lagi kos logistik yang akan memberi kesan rantaian kepada harga barangan keperluan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Mohamad berkata, kelewatan itu juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap keupayaan negara menyiapkan infrastruktur seperti dijadualkan.
“Apabila tarikh penyelesaian diumumkan, namun masih belum tercapai ia boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pelabur,” katanya.
AMH turut menyeru agar semua pihak berkaitan memberikan perhatian serius terhadap isu tersebut dan berharap penyelesaian segera dapat diumumkan dengan tempoh pelaksanaan yang jelas dan munasabah. – KOSMO! ONLINE.