KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Bella Astillah menafikan ‘hint’ yang diberi adiknya Didi Astillah bahawa dia bakal berkahwin tidak lama lagi.
Mengakui terkejut dengan berita tersebut, jelas Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, pihak keluarganya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Sebaliknya, ‘hint’ yang dimaksudnya itu hanyalah sekadar gurauan daripada Didi.
“Saya pun terkejut, Didi tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan. Dia hanya bergurau ketika berbalas komen, tidak sangka pula gurauannya menjadi tajuk berita.
“Saya minta maaf jika ada pihak yang terasa atau triggered dengan perkara itu,” kata Bella yang ditemui pada majlis sidang media program Muzikal Lawak Superstar 5 baru-baru ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang harapan peminatnya dan YB Syed Saddiq yang mengharapkan mereka bersatu selepas pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman berkahwin, Bella hanya tersenyum.
“Doakan yang baik-baik,” itu sahaja yang terluncur daripada bibirnya.
Terdahulu, spekulasi tentang perkahwinan Bella dan Syed Saddiq tercetus di media sosial selepas Didi didakwa membalas satu komen secara gurauan, yang kemudiannya menjadi tajuk utama beberapa portal media.
Komen gurauan yang ditulis Didi menerusi ruangan komen seorang peminat Bella dan Syed Saddiq berbunyi: “Tak salah pun kalau nak mula berlatih sikit-sikit dulu,”
Sementara itu, Bella juga baru kembali daripada menjalani penggambaran jenama pakaian popular dan juga menemani ahli Parlimen Muar itu menyahut cabaran Kejuaran Ironman Dunia 2025 di Nice, Perancis.
Berkongsi tentang perkembangan karier, selain menjadi penyampai radio Era FM pada setiap Isnin, Bella juga terpilih menjadi juri program Muzikal Lawak Superstar 5 bersama Datuk Aznil Nawawi dan juga Zizan Razak yang bersiaran bermula 11 Oktober ini.- KOSMO!ONLINE