fbpx
Dari kiri, Muhammad Hafizuddin, Wan Ahmad Muazzam dan Mohamad Hafiz, antara pelajar TVET yang beroleh manfaat daripada program 2u2i di DHU dan CTRM.

DHU perkasa pelajar TVET dengan pengalaman sebenar di CTRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) menawarkan pengalaman industri sebenar yang lebih awal kepada graduan dengan menggabungkan pembelajaran akademik bersama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kursusnya.

Kelebihan itu ditawarkan menerusi kursus Teknologi Kejurute­raan dalam Pembuatan Komposit Aeroangkasa, yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran teknikal sambil ‘bekerja’ di Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM).

CTRM dan DHU merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad.

Komitmen itu sekaligus membuktikan TVET bukanlah pendidikan kelas kedua, sebaliknya mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang berjaya menembusi industri berteknologi tinggi termasuk aeroangkasa.

Menurut salah seorang alumni DHU, Muhammad Hafizuddin Ha­ziq Razali, 24, peluang menjadi pelajar sepenuh masa dalam program 2u2i (dua tahun di universiti, dua tahun bersama industri) dalam jurusan Teknologi Kejuruteraan dalam Pembuatan Komposit Aeroangkasa memberi dimensi baharu dalam perjalanan akademik dan kerjayanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu yang ditawarkan biasiswa penuh sepanjang pengajian ijazah sarjana muda menyifatkan peluang diberikan sebagai sangat berharga kerana selain mempelajari teori, dia turut mempunyai akses terus kepada operasi sebenar di CTRM.

“Kelebihan belajar di sini ialah kerana adanya fasiliti industri sebenar. Jadi, sebagai pelajar saya dapat pendedahan lebih awal berbanding rakan-rakan lain.

“Saya mendapat pendedahan secara hands-on dalam kemudahan pembuatan yang disediakan, membolehkan saya memahami suasana kerja sebenar, hierarki organisasi, serta teknik komposit yang digunakan dalam industri,” katanya yang kini bertugas sebagai Jurutera Proses di CTRM.

Katanya lagi, pengalaman pe­ngajian melalui DHU menjadikannya lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar di industri bertek­nologi tinggi berbanding laluan aka­demik semata-mata.

Muhammad Hafizuddin (kiri) mendapat pendedahan secara hands-on sewaktu pengajiannya selama dua tahun di CTRM, yang banyak membantunya dalam dunia pekerjaan sebenar.

Sementara itu, Mohamad Hafiz Mingsukang, 41, yang mengikuti pengajian separuh masa program 2u2i bagi ijazah sarjana muda pula menyifatkan pengalamannya di DHU sebagai satu platform penting untuk menggabungkan kemahiran teori dan amali.

Lebih membanggakan, projek tahun akhir yang dihasilkannya berjaya membantu syarikat berjimat ratusan ribu ringgit melalui penambahbaikan dalam proses pemoto­ngan bahan komposit.

“Dahulu saya merupakan seorang juruteknik. Apa yang saya buat sehari-hari, pengalaman dan kemahiran, saya bukukan dan guna sebagai projek tahun akhir pengajian.

“Sebelum ini bahan dipotong secara manual tetapi dengan projek yang saya bangunkan ia berjaya diubah kepada kaedah separa ma­nual. Inovasi itu meningkatkan produktiviti syarikat dan mengurangkan risiko kesilapan,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang dipelajari di DHU dapat terus dikaitkan de­ngan situasi sebenar di tempat kerja termasuk dalam pengurusan projek dan penyelesaian masalah di lantai pengeluaran.

“Pada saya adalah sangat bagus untuk mereka yang sudah bekerja dan berpengalaman sambung belajar sebab kalau kita tengok proses untuk buat komponen aeroangkasa ini, ia memerlukan kemahiran yang sangat tinggi.

“Sebagai contoh, kita ambil proses lay-up. Tak semua orang boleh buat, daripada sekeping kain pre-reg kita jadikan ia sekeras-keras material. Tanpa pengetahuan yang kita dapat di universiti dan kemahiran yang kita ada, tak mungkin produk itu dapat dihasilkan dengan baik,” ujarnya.

Katanya, pendekatan praktikal membuktikan bagaimana DHU bukan sahaja memberi sijil atau ijazah, sebaliknya kemahiran yang benar-benar digunakan dalam sektor aeroangkasa.

Bagi Pemeriksa Kualiti, Wan Ahmad Muazzam Wan Mohd. Harun, 32 pula, laluan kerjaya melalui TVET membuka ruang luas kepadanya untuk berkembang daripada bekas pelajar tahfiz kepada seorang juruteknik.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, pengalaman beliau sebagai pelajar diploma 2u2i membolehkan dia mempelajari teori sebagai jurutera sambil mengaplikasikannya secara terus di tempat kerja.

Wan Ahmad Muazzam memanfaatkan TVET untuk membuka laluan kerjayanya sebagai seorang Pemeriksa Kualiti.

“Saya ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 22 tahun dan keliru sama ada mahu terus belajar atau bekerja. Apabila ditawarkan program TVET 2u2i di DHU, saya nampak ia menjimatkan masa kerana boleh sambung belajar sambil bekerja, sekaligus tidak menangguhkan perkembangan kerjaya.

“Program ini bukan sahaja membolehkan saya menguasai kemahiran teknikal, malah memberi peluang menunjukkan kemampuan dalam projek sebenar.

“Bagi saya, pelajar tahfiz memang sesuai untuk memilih TVET kerana ia mempersiapkan kita untuk menjadi sumber tenaga yang diperlukan negara selain mengenepikan stigma pelajar tahfiz hanya boleh jadi ustaz,” ujar Wan Ahmad Muazzam yang kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti sama.

Tambahnya, TVET melalui DHU dan CTRM juga dilihat bukan sahaja membina tenaga kerja mahir tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain memberi kelebihan kepada individu, gabungan TVET dan pendidikan akademik penting untuk pembangunan ekonomi negara. Kedua-duanya saling bergantung.

“Dengan sokongan kerajaan terhadap TVET dan akademik, graduan akan lebih berkemahiran serta berpengetahuan, sekaligus menarik pelabur luar ne­gara untuk melabur di Malaysia terutama dalam sektor aeroangkasa,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN