fbpx
Mohamad menyertakan bantuan KPKM kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Sabah.

Banjir Sabah: Sektor agromakanan alami kerugian RM2.23 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sektor agromakanan di Sabah mengalami kerugian kira-kira RM2.23 juta akibat bencana ribut, banjir dan tanah runtuh di negeri tersebut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kesan bencana di Sabah kali ini adalah besar apabila lebih 100 pesawah padi terjejas melibatkan 113 hektar sawah dengan kerugian hampir RM520,000.

Katanya, seramai 61 petani tanaman lain seperti nanas, cili dan sayur pula kerugian hampir RM748,000 di kawasan 79 hektar.

“Bagi sektor ternakan, seramai 23 penternak alami kerosakan infrastruktur dan kematian ternakan dengan kerugian lebih RM504,000.

“Seramai 51 nelayan dan pengusaha perikanan turut terkesan dengan kerugian sekitar RM208,000. Selain itu, seramai 58 usahawan tani menanggung kerugian lebih RM257,000,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan ada menyediakan peruntukan RM25 juta untuk Tabung Bencana Pertanian (TBP) menerusi Belanjawan 2025.

Tambahnya, sebanyak RM15.9 juta telah pun disalurkan termasuk di Sabah dengan nilai RM212,000 untuk mangsa di Penampang, Putatan, Kudat, Beaufort, Ranau dan Tenom.

“Kita akan pastikan semua bentuk bantuan ini sampai segera kepada mereka yang terkesan terutama pesawah, petani, penternak dan nelayan.

“Kementerian akan terus beri perhatian agar mereka dapat bangkit semula dan teruskan usaha mencari rezeki,” katanya.

Terdahulu, Mohamad berkata, seramai 82 penduduk masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Penampang.

Kata beliau, KPKM mengagihkan 200 bakul makanan bernilai hampir RM20,000 untuk meringankan beban mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI