PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan, Datin Seri Nur Heliza Helmi bersama adiknya, Hazwani dilaporkan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki dalam misi Sumud Flotilla mengalami kerosakan enjin ketika berada di tengah lautan awal pagi tadi.
Heliza berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi apabila enjin bot tersebut tiba-tiba berhenti dan gagal dihidupkan semula meskipun sudah beberapa kali dicuba.
“Pukul 2 pagi tiba-tiba enjin bot berhenti di tengah lautan dengan tiada bot lain di sekitar kami. Ombak juga agak kuat menyebabkan bot kami terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan.
“Ketika itu memang terasa bagaimana peritnya bila tiada sesiapa di sekeliling untuk diminta bantuan. Kami hanya mampu berdoa untuk keselamatan diri, pasukan serta misi untuk Gaza,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sementara itu, Pegawai Komunikasi Strategik Cinta Gaza Malaysia, Haikal Luqman memaklumkan bot yang membawa dua beradik itu kini sedang menunggu bantuan selepas enjin gagal berfungsi.
“Kapal lain sedang dalam perjalanan untuk menunda mereka ke daratan,” katanya.
Difahamkan, keadaan bot berkenaan masih tersadai di tengah laut ketika ini namun semua penumpang dilaporkan selamat. – KOSMO! ONLINE