PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu selaras pelaksanaan Sistem Subsidi Bersasar Petrol Budi Madani RON95 (Budi RON95).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya bersiap siaga dan bersedia untuk menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu.
Katanya, kaunter itu akan beroperasi pada Sabtu dan Ahad bermula pukul 8.30 pagi
hingga 4.30 petang.
“Penambahan waktu operasi kaunter ini adalah berkuatkuasa pada 27 September hingga 26 Oktober depan di semua pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh negara,” katanya hari ini.
Untuk rekod, terdapat sejumlah 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Manakala sejumlah 15.2 juta merupakan pemegang lesen CDL aktif iaitu masih berkuat kuasa.
Katanya, JPJ mengingatkan pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun, individu terbabit diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3.
“Sementara itu, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun adalah diseru untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap dan kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka.
“Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh.
“Ia di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE