LUMUT – Seorang lelaki berusia 50-an maut setelah motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Taman Nesa, Sg. Wangi, Sitiawan, dekat sini hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, mereka menerima panggilan daripada berhubung kejadian itu pada pukul 7.34 malam.
Beliau berkata, mangsa iaitu seorang lelaki Melayu menunggang motosikal Honda EX5, manakala kereta terlibat pula merupakan model Honda Civic.
“Setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan di tempat kejadian, didapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 50-an penunggang motosikal tercampak lalu mengenai tiang pagar.
“Pemandu kereta pula tidak berada di lokasi sewaktu ketibaan pihak bomba. Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE