fbpx
Dzulkefly pada Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera peringkat Kebangsaan, di AEON Mall AU2, di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Varian XFG Covid 19: Tiada kebimbangan besar, KKM pantau rapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) terus menjalankan pemantauan rapi terhadap penularan varian baharu Covid-19, dikenali sebagai XFG, meskipun negara kini berada dalam fasa endemik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, meskipun varian XFG merupakan subvarian kepada Omicron, setakat ini tiada kebimbangan besar berhubung tahap keganasannya (virulens), dan hanya satu kematian dilaporkan lebih awal.

“Varian ini tidak menunjukkan simptom yang lebih teruk berbanding Omicron lain. Walaupun kadar penularannya lebih tinggi, ia tidak dikaitkan dengan peningkatan keganasan penyakit,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, bahawa subvarian XFJ mencatatkan peratusan sebanyak 9.1 peratus, manakala GN1 dan EC masing-masing mencatatkan 17.4 peratus dan 12.7 peratus.

“Semua ini adalah subvarian yang kami (KKM) terus pantau melalui penjujukan genomik (genetic sequencing) agar tindakan proaktif dapat diambil sekiranya berlaku outbreak (penularan),” katanya.

Dr. Dzulkefly turut menegaskan, KKM dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) tidak pernah mengambil ringan situasi semasa dan sentiasa bersiap siaga.

“Kita tidak mahu menimbulkan panik, tetapi mereka yang mempunyai simptom perlu mendapatkan rawatan segera. Setakat ini, tiada outbreak besar dilaporkan, hanya kes-kes terpencil,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di sini, hari ini.

Menurutnya, Dr. Dzulkefly memaklumkan simptom yang dialami oleh pesakit XFG juga tidak menunjukkan tanda-tanda lebih serius berbanding varian lain dan kebanyakannya hanya mengalami simptom biasa seperti demam dan batuk.

“Setakat ini, tiada simptom luar biasa atau lebih parah dilaporkan. Ia masih dalam kategori simptom biasa yang kita lihat sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, beliau menegaskan bahawa KKM akan terus menjalankan pemantauan rapi terhadap semua subvarian COVID-19 bagi memastikan tindakan proaktif dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan kes atau penularan luar jangka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN