fbpx
Dr. Dzulkefly melawat reruai pada Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera peringkat Kebangsaan, di AEON Mall AU2, di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

Penipuan saringan kesihatan pekerja asing tidak mampu bertahan lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius isu penipuan saringan kesihatan membabitkan pekerja asing dan yakin taktik sindiket terbabit tidak akan bertahan lama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses pemeriksaan terkini yang dijalankan ketika ini sangat rapi dengan setiap pemeriksaan X-ray diperhatikan pakar bagi mengesan sebarang keraguan.

“Saringan yang dibuat adalah teliti. Jika ada imej yang meragukan, pakar akan meneliti semula sebelum keputusan dimuktamadkan. Saya yakin penipuan tidak akan bertahan lama dengan sistem kita yang rapi ini.

“Kementerian juga sedang memperkukuhkan sistem dengan pendekatan baharu melalui penggunaan biometrik cap jari bagi mengelak ruang penipuan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di sini, hari ini.

Beliau diminta mengupas laporan Kosmo! mendedahkan taktik sindiket termasuk menghantar seorang wakil sihat untuk menyamar sebagai individu berbeza mengikut pasport bagi mendapatkan dokumen Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Seorang pemilik klinik swasta, Mohamad, mendedahkan sindiket warga asing dikesan aktif sejak tahun lalu apabila pihaknya membuka 100 kuota pemeriksaan kesihatan setiap bulan.

Menurutnya, kemasukan pekerja asing tanpa saringan telus bukan sahaja berisiko membawa pelbagai penyakit berjangkit, malah menyebabkan kerugian kepada negara.

Malah, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, antara penyakit berbahaya yang berisiko dibawa masuk ialah tuberkulosis (TB), hepatitis, HIV, malaria dan beberapa lagi penyakit yang sepatutnya dapat dikesan lebih awal melalui pemeriksaan kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI