JAKARTA – Gunung berapi di timur Indonesia meletus beberapa kali, memuntahkan abu setinggi 6 kilometer ke langit selepas pihak berkuasa menaikkan tahap amaran ke paras tertinggi.
Letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki itu menyebabkan sebuah lapangan terbang tempatan menghentikan operasi hari ini.
Gunung berapi berkembar setinggi 1,584 meter di Pulau Flores itu meletus berulang kali malam semalam.
Letusan terbesar berlaku pukul 10.46 malam (waktu tempatan) yang memuntahkan abu gunung berapi setinggi 6 kilometer ke ruang udara, demikian menurut agensi vulkanologi dalam satu kenyataan.
Aktiviti gunung berapi itu bersambung pagi ini, dengan agensi berkenaan merekodkan beberapa letusan termasuk satu yang menghamburkan abu setinggi 2.5 kilometer ke udara.
Letusan tersebut berlaku selepas agensi geologi menaikkan tahap amaran gunung berapi itu ke paras tertinggi dalam sistem empat peringkat Indonesia semalam.
Ketua agensi geologi, Muhammad Wafid memberi amaran kepada penduduk dan pelancong supaya berada sekurang-kurangnya 6 kilometer dari kawah gunung berapi, sambil berkata, abu gunung berapi boleh menjejaskan operasi lapangan terbang.
“Abu gunung berapi daripada letusan Lewotobi Laki-Laki juga boleh mengganggu operasi lapangan terbang dan laluan penerbangan sekiranya ia merebak ke kawasan lapangan terbang dan laluan pesawat,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP