PETALING JAYA – Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan hampir 50 peratus berbanding tahun lalu, meskipun Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kemunculan satu varian baharu yang dinamakan XFG.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, varian XFG kini dikategorikan sebagai varian baharu yang dipantau rapat oleh pihak berkuasa kesihatan.
Menurutnya, dari segi survelan genomik, varian yang paling dominan dikesan ialah NB.1.8.1 (39.4 peratus), diikuti JN.1 (18.1 peratus), XEC (13.3 peratys), dan XFG (8.2 peratus), manakala varian lain merangkumi 21 peratus.
“Sehingga Minggu Epidemiologi ke-35/2025 sebanyak 43,087 kes kumulatif dilaporkan sejak awal tahun ini, berbanding 85,297 kes bagi tempoh sama pada 2024, iaitu penurunan 49.5 peratus.
“Pada minggu semasa, 594 kes baharu direkodkan, menurun 12.8 peratus berbanding 681 kes pada minggu sebelumnya,” katanya dalam hantaran di platform X.
Bagaimanapun, Dzulkefly berkata, satu lagi kematian dilaporkan melibatkan seorang warga emas terlantar berusia 91 tahun, menjadikan jumlah kumulatif kematian tahun ini kepada tiga kes.
“KKM menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan asas, termasuk mencuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka jika bergejala atau berada di tempat sesak, serta mendapatkan vaksinasi terutama bagi kumpulan berisiko tinggi,” ujarnya.
Varian XFG mula dikesan di Asia Tenggara pada Januari lalu dan menjelang Jun, ia dikelaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian bawah pengawasan berikutan penularannya yang pantas di seluruh dunia.
Ia dikelaskan oleh WHO sebagai rekombinan atau hibrid daripada dua varian Omicron yang sedia ada, iaitu LF.7 dan LP.8.1.2. – KOSMO! ONLINE