fbpx
Azam Baki ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di Movenpick Convention Centre, Sepang hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

Counter setting: Rekod kewangan ahli keluarga, rakan sekutu turut disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG- Rekod kewangan ahli keluarga atau rakan sekutu kepada individu yang telah ditahan berhubung sindiket ‘counter setting’ turut akan diperiksa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, siasatan yang dijalankan itu akan melibatkan sesiapa sahaja yang didapati mempunyai kaitan dengan individu terbabit.

“Siapa pun yang berkaitan dengan mereka kita akan siasat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, 18 pegawai agensi penguat kuasa antara 27 individu direman kerana disyaki terlibat dengan sindiket ‘counter setting’ bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Azam menjelaskan, ada di antara mereka yang ditahan memberi alasan bahawa wang yang diperoleh itu diberikan oleh pihak lain.

“Sekarang kita akan memanggil pihak yang disebut itu sebagai saksi dan mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan mereka memberikan wang kepada pegawai kerajaan.

“Dalam hal ini, kita akan buat siasatan lanjut. Aliran wang tidak terlalu panjang kerana ia tidak membabitkan sektor korporat, namun mereka tetap perlu menjawab bagaimana wang itu diperoleh,” katanya.

Kata Azam, SPRM juga perlu mendapatkan keterangan saksi mengenai bagaimana mereka yang telah ditahan mampu untuk membeli kenderaan mewah, membuka perniagaan dan memiliki sejumlah wang tunai.

“Berhubung dengan siasatan ini, pegawai-pegawai penyiasat bukan sahaja menyiasat kes rasuah dan salah guna kuasa, kita juga melakukan siasatan dibawah akta pengubahan wang haram dan juga kita lihat aset-aset yang disita.

“Mereka yang terlibat ini, akan ada yang kita siasat berhubung harta dan wang tunai, dan mereka akan diberi notis tertentu untuk mengisytiharkan harta mereka, bukan semua, tapi akan ada yang perlu diisytiharkan.

“Sebagai contoh yang membuka kedai emas, ini semua akan dipersoalkan, bagaimana peroleh wang tersebut dan punca wang itu diperolehi. Siasatan ini masih mengambil masa kerana kita baru sahaja mulakan dalam tempoh dua minggu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN