KUANTAN – Segelintir generasi kedua Felda Bukit Goh di sini, menolak tawaran duit pampasan bernilai jutaan ringgit sebagai ganti pengambilan tanah yang diusahakan ibu bapa mereka sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Sebaliknya, mereka bersetuju jika projek pembangunan ladang solar berskala besar diusahakan di kawasan felda itu dan peneroka akan menerima wang keseluruhan RM1.15 juta hasil sewaan tanah selama kira-kira 25 tahun.
Fauziana Salim, 41 berkata, wang tunai jika diambil akan habis dalam tempoh tertentu dan ia tidak menjamin masa depan lebih mampan.
Katanya, pelbagai projek mega ditawarkan, membuatkan peneroka menjadi lebih keliru.
“Kalau diberi RM1 juta sekalipun, wang itu tidak akan bertahan lama, selepas habis, tanah pun sudah tiada, yang tinggal hanya tangan kosong.
“Apa akan jadi kepada peneroka yang sudah tua dan tidak berdaya bekerja? Pastinya sudah tidak ada lagi pendapatan dan perlu berharap kepada bantuan lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurutnya, peneroka sebenarnya tersepit dengan pilihan yang ditawarkan kerana jika tersalah pilih projek pembangunan, pastinya tanah tergadai.
“Bagaimanapun, ada satu pilihan iaitu projek tenaga solar yang mungkin boleh menyelamatkan peneroka apabila tanah-tanah terbiar itu akan disewakan.
“Saya mungkin membenarkan ibu saya memilih cadangan projek solar itu jika ia ditawarkan,” katanya.
Ros Asamawi Abdul Latiff, 44, pula lebih rela melihat ladangnya dimajukan dengan projek jangka panjang yang memberi pulangan tetap daripada menerima pampasan.
“Cukuplah pengalaman bauksit sebagai pengajaran, daripada 10 ekar tanah kami, lapan ekar telah ditebang untuk penjualan tanah bauksit dan tinggal dua ekar yang tidak cukup untuk survival kami di zaman ini,” katanya.
Katanya, peneroka perlu memilih pemaju yang tepat bagi ketiga-tiga projek yang masih dalam rangka cadangan itu.
“Tenaga solar dilihat lebih baik kerana tanah masih menjadi hak milik peneroka di samping mendapat pendapatan bulanan.
“Penanaman semula bagus tetapi berisiko kerana tanah yang sudah digali bauksit mungkin sudah tidak subur dan kebanyakan peneroka sudah tua serta anak-anak pun tidak berminat untuk bekerja di ladang,” katanya.
















