fbpx
ANAK bongsu daripada tiga beradik ini berada di pusingan kelayakan terakhir Piala Dunia E-Sukan (EWC) 2025 di Arab Saudi.

Chamack mahu lahir lebih ramai bakat muda FIFA/FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik nama arena Chamack, tersimpan kisah seorang anak muda Malaysia yang sedang mencipta jejak dalam dunia e-sukan bola sepak digital.

Mula mengenal permainan FIFA/FC ketika berusia enam tahun menerusi konsol milik abangnya, Muhammad Muzaffar Zuhair kini mula menempa nama di pentas dunia.

Lebih melucukan, nama Chamack diinspirasikan daripada bekas pemain Arsenal, Marouane Chamakh hadir secara kebetulan apabila dia menggunakan ID PlayStation milik rakan abangnya yang meminati pemain tersebut ketika itu.

Ejaan nama yang diubah sedikit itu kekal menjadi identitinya dalam komuniti FIFA/FC tempatan. Menurut pemain berusia 22 tahun itu, dia sebenarnya peminat Chelsea sejak kecil dan pasukan itulah yang membentuk cita rasa bola sepaknya.

“Waktu itu saya tak tahu macam mana nak buat akaun dalam PlayStation, jadi saya pinjam ID kawan abang saya yang merupakan peminat Chamakh.

“Daripada situ, ramai orang dalam komuniti FIFA/FC tersebut, dan saya terus gunakannya untuk masuk kejohanan tempatan kenal saya dengan nama tersebut, dan saya terus gunakan untuk masuk kejohanan.

“Siapa sangka, nama itu sekarang menjadi identiti saya dan membawa saya sehingga ke kejohanan dunia e-sukan,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk pengetahuan, Chamack pernah muncul sebagai juara di pelbagai kejohanan FIFA peringkat kebangsaan di Malaysia.

Selain itu, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu juga tersenarai dalam kalangan pemain terbaik dunia menerusi FC Pro World Rankings. Chamack turut menjadi atlet e-sukan FIFA termuda di

Asia Timur yang memperoleh status “Verified” pada FIFA edisi 20 dan 21.

Dalam bidang akademik, Chamack tetap cemerlang apabila memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 walaupun aktif sebagai pemain e-sukan.

Pada tahun 2025, Chamack telah mengumpul hasil pendapatan sebanyak hampir RM100,000 daripada kejohanan FC di dalam dan luar negara. Kejayaan Chamack dalam FIFA dan FC bukanlah berlaku dalam sekelip mata. Dia sudah mula menyertai pertandingan di seluruh Semenanjung Malaysia sejak berusia 14 tahun.

Sokongan keluarga pada awalnya tidak seindah yang diharapkan, apabila ibunya pernah menyembunyikan konsol kerana bimbang minat itu mengganggu pelajaran.

Ada masanya Chamack perlu menaiki Grab sendiri ke lokasi pertandingan dengan tambang mencecah ratusan ringgit hanya untuk pulang dengan hadiah kecil.

Namun, semua itu dianggap pelaburan dan pengalaman yang membentuk dirinya hari ini. Perubahan besar hadir ketika Chamack menjejakkan kaki ke Singapura untuk menyertai menyertai kejohanan MyRepublic Gamer.

Katanya, Grand Final bagi Kejohanan tersebut sepatutnya diadakan di Singapura, namun dibatalkan pada saat-saat akhir disebabkan ‘lockdown’ dan dijalankan secara atas talian.

“Saya berjaya tamatkan saingan di tempat kedua dan masa itu hadiah hampir RM15,000.

“Jumlah itu bukan sekadar wang tetapi juga pengesahan bahawa bakat saya setanding dengan pemain antarabangsa,” katanya.

Selepas itu, pelajar sarjana muda jurusan International Business di UniKL Business School ini mula terlibat dengan liga e-sukan tempatan seperti eMalaysian Football League (EMFL).

CHAMACK (berdiri kanan) merupakan sebahagian daripada pasukan JDT GBX e-Sukan sejak Oktober 2022.

Dari satu pasukan ke satu pasukan, termasuk bersama GBX Esports dan JDT Esports, Chamack akhirnya menganggap dirinya seorang pemain profesional. Dia mula ada kontrak, ada gaji dan yang paling penting, peluang untuk mewakili negara di pentas global. Tahun 2023 menjadi kemuncak apabila Chamack layak ke dua kejohanan dunia FIFAe di Riyadh iaitu FIFAe Club World Cup dan FIFAe Nations Cup.

Pengalaman bersaing dengan pemain terbaik dunia membuka matanya tentang perbezaan utama antara Asia dan Eropah.

Menurut Chamack, ramai pemain Asia mudah panik apabila ketinggalan, manakala pemain luar tetap tenang walaupun dibolosi berkali-kali.

“Perbezaan pemain FC luar dengan pemain Asia ni antaranya adalah dari segi mentaliti. Macam kebanyakan pemain di rantau Asia ni, bila kena satu-dua gol terus panik dan gameplay menjadi kucar-kacir.

“Tapi kalau pemain luar, walaupun kena dua tiga gol, mereka tetap boleh tenang dan main macam biasa, terutamanya di peringkat tertinggi.

“Itu yang saya cuba praktikkan sekarang, bukan saja dari segi teknikal tapi juga mental,” katanya.

Dalam negara, Chamack tidak meletakkan seorang idola khusus kerana setiap rakan seperjuangan seperti AkmalJHD dan LuqmanHzq menyumbang kepada kemajuan dirinya. Dari luar negara, sosok Nicolás Villalba dari Argentina yang konsisten sejak era FIFA 18 menjadi sumber inspirasinya.

Gaya permainan Chamack dikenali sebagai pantas dan agresif dengan kawalan dribbling halus tanpa terlalu banyak gerakan skil, menjadikannya kerap mengejutkan lawan dengan tempo tinggi.

Kini, Chamack sedang melakukan persiapan untuk menghadapi musim FC26 tidak lama lagi dengan sasaran awal untuk melayakkan diri ke Global Qualifier yang akan diadakan di Atlanta, Amerika Syarikat.

Kemudian, tumpuannya akan beralih kepada penampilan pertamanya di Sukan SEA 2025 Thailand dari 9 hingga 20 Disember nanti. Cabarannya unik kerana kategori FC akan menggunakan FC Online, sedangkan kepakaran utamanya adalah pada FC konsol. Kongsinya, cabaran untuk membiasakan diri dengan platform itu menaikkan semangatnya untuk mencipta kejutan.

“Thailand dan Vietnam memang pesaing utama. Mereka dah lama kuat dalam platform FIFA/FC Online dan mereka selalu jadi lawan paling sukar.

“Pada Sukan SEA edisi lepas, pasukan Malaysia bawa pulang gangsa, saya harap kali ini kami bawa pulang emas,” tambahnya.
Chamack percaya potensi e-sukan FC di Malaysia amat besar, tetapi ekosistemnya masih lemah.

Bakat muda jarang kelihatan, dengan kekurangan dalam bilangan kejohanan terutamanya selepas Covid-19, manakala kebanyakan pro player telah mencecah usia 20-an.

Tanpa pelapis, dia bimbang suatu hari nanti Malaysia bakal kehilangan wakil di pentas dunia.

Baru-baru ini, Chamack bersama rakan-rakan komuniti FC sempat bertemu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim untuk membincangkan masalah yang dilanda pro player FC tempatan.

Adam Adli difahamkan telah menyatakan komitmen beliau dan memberi sokongan kepada pro player FC yang membawa nama Malaysia dan membangunkan struktur yang membuka peluang kepada bakat baru.

Melihat ramai atlet e-sukan berhenti begitu sahaja, Chamack bercita-cita menubuhkan akademi khusus untuk FIFA dan FC.

Baginya, remaja perlu diberi pendedahan tentang laluan rasmi bermula daripada FC Pro Ladder, Qualifiers sehinggalah ke World Championship.

“Saya rasa mungkin boleh main sampai umur 27 atau 28 tahun. Tengok kawan saya Imran Deen, umur 28 masih main di tahap tinggi.

“Jadi kenapa tidak saya cuba juga? Tapi selepas saya, tiada siapa menjadi pelapis.

“Tanpa bimbingan, ramai hanya bermain secara kasual tanpa menyedari pintu ke kejohanan dunia terbuka luas.

“Oleh itu, saya berharap akan ada usaha lebih tinggi daripada semua pihak untuk mencungkil bakat di peringkat akar umbi bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN