fbpx
Dr. Noor Aishah menjelaskan senyap, bangun dan berlalu pergi merupakan antara perbuatan 'buli senyap'.

Gosip, sindiran ‘senjata’ pembuli senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU buli sering dikaitkan dengan keganasan fizikal, namun realitinya wujud satu bentuk buli yang lebih halus, tetapi meninggalkan kesan mendalam iaitu buli senyap.

Buli senyap berkait dengan psikologi dan emosi si mangsa, bahkan sekiranya semangat mereka tidak dipulihkan, ia memberi kesan trauma berpanjangan termasuk hingga ke alam dewasa.

Ia berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara ejekan, perbuatan memulau atau meminggir mangsa dan sedikit demi sedikit memberi impak kepada keyakinan diri individu tersebut.

Wartawan Kosmo! Ahad, Siti A’isyah Sukaimi menemu bual pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan remaja, Dr. Noor Aishah Rosli dari CPC International bagi menjelaskan tentang buli senyap.

KOSMO! AHAD: Boleh Dr. terangkan maksud buli senyap dan bagaimana berbeza de­ngan buli fizikal?
DR. NOOR AISHAH: Buli senyap ini banyak berlaku, tapi orang tidak perasan. Yang nampak buli fizikal. Tetapi buli se­nyap datang bersekali dengan buli fizikal. Maksudnya perbuatan meng­asingkan, memulau atau meminggirkan seseorang. Contohnya, satu kumpulan buat buli senyap dan buli tak jadi seorang. ‘Geng-geng’ ini memulau, meminggirkan seseorang tidak dengan kekerasan, tetapi menggunakan psikologi, menekan emosi seseorang yang akhirnya membuatkan mangsa tertekan, terabai, sunyi dan keseorangan.

Mengapa buli senyap sukar dikesan oleh ibu bapa, guru atau pihak sekolah?
Buli senyap tidak seperti buli fizikal nampak kesan tumbuk, cedera dan sebagainya. Kebia­saannya mangsa diam dan tidak be­ritahu, malah ada yang tidak tahu dia dibuli. Sebagai contoh, mangsa datang di tengah-tengah rakan lain yang sedang bergelak ketawa dan tiba-tiba mereka bangun meninggalkannya. Mang­sa jadi keliru dan dia pun tidak tahu dibuli.

Ada juga mangsa suka memendam rasa lebih-lebih lagi ada ibu bapa tidak berkomunikasi dua hala dengan anak. Nampak anak mereka sihat, makan berselera, tidur nyenyak menyebabkan mereka fikir tiada masalah, tetapi kita tidak tanya anak kita (misalnya hal berkaitan di sekolah). Apabila kita ambil berat, ibu bapa tanya juga soalan berkait emosi, jadi mereka boleh meluahkan apa yang terbuku di hati.

Ramai ibu bapa ambil mudah bila nampak anak okey, seperti tiada ada apa-apa masalah. Pernah klien saya berusia 16 tahun ketika sesi perjumpaan, dia menangis selain ada sejarah mencederakan diri. Selepas diselidik, dia dibuli sejak sekolah rendah ketika berusia sembilan tahun. Tetapi dia takut untuk beritahu ibunya. Anak-anak ini takut dan buruk sangka dengan reaksi ibu bapa.

Misalnya, si Aminah mengadu kepada ibunya, rakan tolak di sekolah. Ibu memberikan reaksi ‘tolak dia balik.’ Jadi buli itu dibalas semula dengan buli dan ini sebenarnya tidak betul. Bukan semua budak-budak boleh buat begitu. Reaksi seperti ini akan melemahkan mereka dan sebab itu anak-anak pendam serta tidak mahu mengadu jika dibuli.

Jika kita minta anak dibuli ini ‘lawan balik’, pembuli akan sasarkan dia lagi. Ini sekolah bukan kem jangka masa pendek dan jika diajar ‘tumbuk balik’, tidak habis di situ. Kita cari jalan bagaimana mereka ini boleh berkawan, namun ia bergantung kepada tahap buli yang berlaku. Kejadian buli ini mesti ada sebab dan sebagai orang dewasa, jangan terus naik angin tetapi rasional dalam mengambil pendekatan.

Apakah contoh tingkah laku atau perbuatan dianggap bia­sa, tetapi sebenarnya boleh jadi buli senyap?
Perbuatan buli senyap contohnya, dalam satu kumpulan dan tiba-tiba kita datang, mereka jadi senyap dan bangun tinggalkan tempat itu, ‘silent treatment’ (perlakuan senyap). Kawan bertanya, tetapi dia senyap, bangun dan berlalu pergi. Perbuatan menyindir, memerli dan mengejek juga dikategorikan sebagai buli senyap.

Selain itu bergosip, tambah lagi dengan adanya penggunaan teknologi seperti telefon bimbit. Mereka menggunakan aplikasi Whats­App menyindir rakan-rakan di dalam mesej. Budak yang membuli ini mereka tidak ada empati, tidak ada rasa belas kasihan kepada orang lain.

Mereka memerhati perangai orang dewasa, misalnya ada ibu bapa kadangkala suka me­ngumpat bercerita tentang adik-beradik, ipar-duai dan mereka mendengar serta kemudian turut melakukan perbuatan sama. Dalam situasi lain pula, mereka melihat ibu bapa bergaduh, ayah pukul emak. Anak rasa sedih untuk ibunya, tetapi dengan orang lain, rasa empati itu kurang atau tidak ada.

Bagaimana kesan emosi dan psikologi buli senyap terhadap mangsa?
Buli senyap meninggalkan trauma, mangsa rasa takut. Contohnya ternampak pembuli, dia akan rasa berdebar-debar, trauma dan takut. Rasa bimbang, cemas semua lengkap di situ, sete­rusnya otak akan mula berfikir negatif. Ketika itu dia akan rasa ‘aku tak guna, tak bagus, tak boleh nak hidup, pergi sekolah hari-hari pun tak ada kawan.’ Dari situ dia kemudian mula mencederakan diri sendiri.

Salah seorang klien saya, kerja bagus sebagai doktor, tetapi trauma dibuli di asrama sehingga sekarang tidak boleh lupa. Takut nak melawan ketika di asrama, manakala ibu bapa pula berpersepsi bahawa dia kena juga habiskan belajar di situ. Apabila anak ini bertahan dan sehingga dewasa, dia trauma sampaikan tidak mahu berumah tangga.

Dia jarang pulang ke kampung berjumpa keluarga dan sibukkan diri dengan perkara lain. Dia kecewa dengan ibu bapa yang tidak faham dan beri sokongan kepadanya ketika itu. Apa yang dikatakan adalah ‘kamu kuat, kamu lawan balik’, tetapi sebenarnya tidak menyelesai masalah.

Apakah tanda-tanda awal anak yang jadi mangsa buli senyap?
Nampak perbezaan anak dibuli, misalnya sebelum ini dia seorang yang ceria berubah pendiam dan senyap. Banyak termenung, murung dan lama kelamaan semakin melampau tidak mahu pergi ke sekolah di­sebabkan dibuli. Ada juga tidak berselera makan dan hanya suka duduk di dalam bilik kerana mereka boleh banyak termenung dan berfikir di situ.

Tanda-tanda awal lain se­perti mereka ini lebih sensitif atau mungkin cepat marah dan kadang-kadang menangis, namun apabila ditanya, mereka mengatakan tidak ada masalah. Sebagai ibu bapa, mereka perlu betul-betul berkomunikasi dengan anak, bukan sekadar ‘touch and go’ asalkan bertanya sekali lalu. Duduk bersama-sama dan jaga percakapan. Ajar anak supaya bercerita segala-galanya kepada ibu bapa.

Apakah kecenderungan menyebabkan seseorang jadi pembuli?
Biasanya kanak-kanak mempunyai keluarga yang sering bercakap kasar, suka bergaduh sehingga boleh menjadi punca anak mereka menjadi pembuli. Keluarga suka mencarut dengan perkataan tidak senonoh, anak-anak ini membesar dalam suasana begitu dan mereka anggap biasa. Kemudian dia me­lakukan perbuatan sama kepada rakan lain.

Dia tidak dapat membezakan perkara positif dan negatif. Bagi dia okey sebab di rumah, dia dipanggil dengan panggilan tidak baik misalnya ‘bodoh’. Ditambah lagi apabila di sekolah, mereka jumpa dengan ‘geng-geng’ sama.

Bagaimana ibu bapa boleh membina komunikasi terbuka dengan anak-anak supaya mereka berani berkongsi sekira menjadi mangsa buli? Sikap ibu bapa itu sendiri, kadangkala bercakap dengan anak-anak seperti mahu berbalah, bergaduh, meninggi suara misalnya, anak-anak akan takut bercerita. Ibu bapa pun kena jaga perso­naliti ketika di depan anak-anak.

Kadang-kadang mereka terlupa, anak kena pandang tinggi kepada mereka, kena dengar dan ikut sahaja cakap ibu bapa. Tetapi ibu bapa pun tidak membina personaliti yang boleh anak-anak mendekati mereka, tidak ada sifat penyayang dan kasar. Ko­nonnya sikap kasar supaya anak-anak kuat dan jangan lemah, namun itu bukan caranya.

Ketika bercakap dengan anak-anak, biar mereka ada kepercayaan dengan kita. Dengar dahulu apa diperkatakan oleh mereka, jadi kita akan rapat de­ngan anak-anak. Sebab itu personaliti ibu bapa juga perlu dijaga ketika bersama mereka. Jadikan anak-anak seperti kawan dan sekali sekala keluar ‘dating’ dengan mereka. Kita main peranan begitu sebab kita tidak mahu anak-anak kita terjebak dengan perkara negatif.

Saranan kepada pihak sekolah bagi mencegah dan menangani kes buli senyap?
Bagi guru-guru mereka dipertanggungjawabkan untuk mengambil tahu setiap murid di dalam kelas dan sering bertanya kepada mereka kejadian berlaku. Minta murid ceritakan berkenaan kejadian hari ini, sama ada mereka okey atau sebaliknya. Walaupun dengan pertanyaan ‘sudah makan’, adakah mereka gembira, sedih dan sebagainya.

Mungkin boleh disarankan kepada murid menyerahkan nota misalnya, sekiranya murid mahu memberitahu sesuatu. Itu antara cara kita ambil tahu keadaan murid-murid di dalam kelas.

Apakah bentuk sokongan atau pemulihan sesuai diberikan kepada mangsa dalam memulihkan keyakinan diri mereka?
Berjumpa dengan profesio­nal iaitu mereka dalam bidang psikologi termasuk kaunselor dalam membantu memulihkan semangat mangsa buli serta me­ningkatkan keyakinan dan harga diri. Itu adalah yang terbaik dalam membantu mangsa buli senyap kerana kaunselor atau mereka dalam bidang psikologi ini tidak berat sebelah.

Selain itu jika ada individu rapat yang dipercayai sama ada kawan baik, ahli keluarga dan sebagainya, mereka juga boleh menjadi tempat meluah mangsa buli berkenaan. Bagaimanapun maklum balas diberikan kepada mangsa buli ini mestilah secara positif. Jangan sesekali meluah di media sosial kerana bentuk komen diterima kadangkala yang ‘bukan-bukan’ sekali gus tidak membantu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN