SABAK BERNAM – Rutin seorang lelaki meracun kebunnya bertukar tragedi apabila maut selepas terminum racun yang disangka air mineral di Sungai Air Tawar di sini.
Kejadian menimpa lelaki tempatan berusia 42 tahun itu diketahui selepas polis menerima laporan kira-kira pukul 6.47 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa pada awalnya menjalankan kerja meracun sawit di sekitar kebun jagaannya, kelmarin.
Katanya, mangsa dipercayai telah terminum racun yang disangka air minuman dalam botol mineral
pada waktu pagi
“Mangsa kemudian mengadu sakit pada hari sama dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan.
“Bagaimanapun, dia kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, proses bedah siasat telah dijalankan oleh pegawai perubatan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.
Bagaimanapun katanya, punca sebenar kematian belum dapat disahkan kerana perlu menunggu keputusan laporan makmal.
“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE