MANCHESTER – Krisis kecederaan pemain melanda Manchester City di kala mereka bakal menghadapi derbi Manchester menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad Ahad ini.
Keadaan itu pastinya merisaukan pengurus City, Pep Guardiola, lebih-lebih lagi mereka tewas dalam dua aksi berturut-turut ketika bertemu Tottenham Hotspur dan Brighton yang menyaksikan City terperosok ke tangga ke-13.
Dua pemain tengah, Phil Foden dan Rayan Cherki hampir pasti tidak dapat diturunkan pada perlawanan tersebut apabila masing-masing mengalami kecederaan buku lali dan kaki dalam aksi terdahulu.
Omar Marmoush juga dilaporkan tidak akan beraksi ketika bertemu United nanti selepas dia dihantar pulang ke England ketika menggalas tugasan antarabangsa bersama Mesir pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
“Imbasan awal yang dibuat ketika di Mesir memberi gambaran bahawa dia (Marmoush) tidak dapat diturunkan pada derbi Manchester. Dia akan pulang dan menjalani proses pemulihan bersama pasukan,” kata City menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, The Citizens juga masih menantikan perkembangan terhadap tahap kecergasan beberapa lagi pemain lain termasuk Mateo Kovacic, Josko Gvardiol, Kalvin Phillips, Savinho, Rico Lewis dan Nico O’Reilly.
Bagaimanapun, mereka masih dapat menarik nafas lega apabila penyerang utama, Erling Haaland dilaporkan kembali ke pasukan dalam keadaan cergas selepas membantu Norway ketika aksi antarabangsa. – AGENSI