KOTA BHARU – Cubaan sindiket untuk menyeludup dadah jenis syabu seberat 279 kilogram (kg) gagal selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjumpai dadah tersebut ditinggalkan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di tepi jalan Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang dekat sini pada bulan lalu.
Rampasan yang dianggarkan bernilai RM8.9 juta itu dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 19 Ogos lalu selepas JKDM Kelantan mendapat maklumat daripada orang awam.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah MPV jenis Perodua Alza yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kampung tersebut.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, anggota JDKM mendapati enjin kenderaan tersebut sudah dimatikan dan kesemua pintu berada dalam keadaan terkunci.
“Pemeriksaan di dalam MPV itu membawa kepada penemuan lapan guni berisi dadah jenis syabu seberat 279 kg yang diletakkan di bahagian but dan di tengah-tengah tempat duduk penumpang belakang.
“Siasatan mendapati, kesemua dadah itu dipercayai baru diseludup dari Thailand berikutan lokasi kenderaan tersebut ditinggalkan berada kira-kira dua kilometer dari kawasan pangkalan haram,” katanya pada sidang akhbar di Bahagian Penguatkuasaan, Wisma JKDM Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kesemua dadah yang berada di dalam kenderaan itu disyaki akan dibawa sebelum diedarkan untuk pasaran luar Kelantan.
Menurutnya, siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah yang terlibat dipercayai menggunakan kenderaan persendirian untuk mengangkut dadah sebelum dibawa ke luar Kelantan.
“Rampasan itu merupakan kejayaan terbesar JKDM Kelantan dalam menumpaskan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah sepanjang tahun ini,” ujarnya.
Menurutnya, JKDM Kelantan mengenal pasti suspek terlibat termasuk pemilik kenderaan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE