PETALING JAYA – Seorang pelanggan mendakwa menemui lipas di dalam kuah laksa yang dinikmatinya di sebuah premis makanan di Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Facebook, Harun Mohd Shah meluahkan rasa kecewa kerana pekerja kedai didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya walaupun sudah dimaklumkan tentang penemuan lipas di dalam kuah laksa mereka.
“Sedap sangat laksa dia, tapi tu lah, dapat sekali dengan lipas.
“Kita dah bagitahu kuah periuk laksa dia ada lipas, dia tengok kita pergi, dia sambung jual macam biasa,” dakwanya.
Perkongsian tersebut menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis berkenaan.
Beberapa pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan segera dengan memeriksa premis tersebut.
Di ruangan komen, ada pengguna berkongsi pengalaman menemui bendasing di dalam kuah laksa yang sama.
“Pernah sebelum ini jumpa anak cicak pergi kedai sama tapi di cawangan lain. Mungkin lepas masak kuah terdedah sampai tak sedar ada yang masuk dalam kuah,” dakwa Haizar.
“Nak ganti pun macam loya gak. Dah letak kuah pun dari dalam satu periuk. Terfikir lipas tu dari situ juga,” kata Siti Hajar. – KOSMO! ONLINE