NOTTINGHAM – Nuno Espírito Santo menjadi pengurus pertama dipecat musim ini selepas Nottingham Forest mengumumkan perpisahan dengan jurulatih Portugal itu hanya tiga perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengumuman rasmi dibuat dengan kelab merakamkan penghargaan kepada Nuno atas sumbangan hampir dua tahun di The City Ground, termasuk kejayaan membawa Forest ke pentas Eropah buat kali pertama sejak tiga dekad lalu.
“Nuno memainkan peranan penting dalam musim 2024/25 yang akan sentiasa dikenang dalam sejarah kelab. Dia akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan kami,” kata kenyataan rasmi Forest.
Nuno, 51, mengambil alih pasukan pada Disember 2023 selepas pemecatan Steve Cooper dan berjaya menyelamatkan Forest daripada penyingkiran.
Musim lalu, dia membawa kelab itu ke tangga ketujuh EPL iaitu pencapaian terbaik sejak 1994/95 sekali gus melayakkan mereka ke Liga Europa.
Namun, hubungannya dengan pemilik kelab, Evangelos Marinakis dilaporkan retak apabila Nuno sendiri mengakui mereka “tidak lagi rapat” dan hubungan itu sudah berubah sekali gus mencetuskan spekulasi awal tentang masa depannya.
“Saya tahu bagaimana bola sepak berfungsi. Kalau ada asap, mesti ada api, tetapi tugas saya tetap bekerja untuk pasukan,” kata Nuno sebelum ini.
Forest kini berada di tangga ke-10 liga selepas tewas 0-3 kepada West Ham sebelum rehat antarabangsa dan akan menentang Arsenal pada 13 September ini. – AGENSI