fbpx
Gambar hiasan

Dewan Negara: Hutang isi rumah Malaysia masih terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hutang isi rumah di Malaysia sebanyak RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga akhir Mac lalu disifatkan sebagai masih terkawal.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kedudukan hutang isi rumah perlu dilihat secara holistik khususnya dengan mengambil kira aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar iaitu RM3.44 trilion pada tempoh sama.

“Secara agregat, aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali, sekali gus menyediakan penampan kewangan yang kukuh kepada isi rumah,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar untuk memastikan peminjaman perkhidmatan kredit yang berhemah.

Menurut beliau, langkah itu penting dalam menangani risiko hutang melebihi kemampuan serta meningkatkan perlindungan pengguna perkhidmatan kredit bagi memastikan ia tidak menimbulkan kesan negatif kepada daya tahan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara.

Kata beliau, pinjaman-pinjaman yang diluluskan oleh institusi kewangan termasuk bank digital tertakluk kepada Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang diterbitkan Bank Negara Malaysia (BNM)

Jelas beliau, dokumen dasar ini menghendaki institusi kewangan menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan ke atas peminjam yang ingin mendapatkan pembiayaan ditawarkan.

“Nisbah khidmat hutang (DSR) bagi isi rumah kekal dalam lingkungan paras hemat dengan median DSR pinjaman terkumpul pada paras 34 peratus, manakala median DSR pinjaman baharu diluluskan adalah 41 peratus pada tahun 2024.

“Kedudukan DSR dalam lingkungan paras hemat ini menjadi penampan pendapatan yang mencukupi bagi memenuhi perbelanjaan asas dan memastikan bakal peminjam mampu membayar balik pinjaman,” katanya.

Selain itu, kerajaan mengambil maklum trend penawaran kredit secara dalam talian termasuk penggunaan Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) yang semakin meningkat.

Katanya, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-undang Kredit Pengguna (RUUKP) bagi mempertingkatkan perlindungan kepada pengguna kredit dengan mengawal selia penyedia kredit bukan bank serta penyedia perkhidmatan kredit.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, kerajaan sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai usaha berterusan untuk membantu pengguna kredit yang menghadapi kesulitan kewangan.

Kata beliau, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah berjaya membantu lebih 64,000 peminjam menyelesaikan pinjaman mereka sepenuhnya melalui program pengurusan kredit.

“Hampir 270,000 peserta masih aktif meneruskan perjalanan pemulihan kewangan mereka dalam program ini. Kerajaan juga akan terus berusaha meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN