KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyasarkan projek tanaman dan penternakan di bawah Program Ekonomi Madani yang diperkenalkan di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menyumbang sehingga sembilan tan hasil setahun.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan perolehan hasil itu juga ia dijangka menjana pendapatan kira-kira RM604,000 dalam tempoh dua tahun setengah.
Jelas beliau, projek berkenaan diusahakan sendiri oleh penghuni kem yang terdiri daripada ahli keluarga ATM melibatkan 90 kem seluruh negara yang dilaksanakan secara berfasa.
“Pada awalnya, projek ini dijalankan secara percubaan untuk melihat sama ada isteri anggota berminat dan ternyata permintaannya tinggi.
“Jadi kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakannya. Bagi projek madu kelulut Boustead Plantation yang menanggung separuh kos rumah kelulut manakala kerajaan membayar separuh lagi.
“Kita mulakan dengan 22 kem dan selepas itu akan diperluaskan secara berfasa sehingga melibatkan 90 kem dalam tempoh dua tahun setengah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja di Markas Pemerintahan Medan Barat, Kem Perdana, Sungai Besi di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua hasil tuaian berkenaan akan dibeli oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Plantations Berhad untuk diproses kepada produk yang bernilai lebih tinggi.
Jelas beliau, keuntungan daripada syarikat terbabit juga akan memberi manfaat kepada warga ATM pada masa akan datang.-KOSMO! ONLINE