PETALING JAYA – Bagi sesetengah individu, kejayaan menamatkan perlumbaan Ironman dianggap satu pencapaian luar biasa, namun bagi pendidik terkenal Sir Badang, cabaran sebenar bukan pada hari perlumbaan, sebaliknya pada sesi latihan yang mendahuluinya.
Menerusi satu hantaran video di laman TikTok @R2e.mcplus, dia berkata Ironman hanyalah bentuk sambutan atau ‘celebration’ kepada segala usaha keras dan disiplin sepanjang tempoh persiapan.
“Mula bulan lapan, sembilan, sepuluh. Waktu paling mencabar, tekanan tinggi dan fizikal pun mula lemah. Ironman tu sendiri tak susah, yang susah adalah latihan,” katanya dalam video tersebut.
Dia turut menegaskan bahawa dalam menghadapi cabaran, seseorang tidak boleh terlalu berlembut dengan minda sendiri kerana ketika keletihan melanda, otak pasti akan memberi alasan untuk berhenti.
“Kalau otak kata tak boleh, kita kena paksa dan tolak diri untuk teruskan. Sebab itu ia dipanggil Ironman, bukan sebab hari perlumbaan, tapi sebab latihan yang sangat menguji ketahanan diri,” ujarnya.
Sir Badang merupakan antara figura dikenali menerusi platform MC Plus kerana gaya penyampaian unik dan motivasi yang memberi inspirasi kepada pelajar dan golongan muda. – KOSMO! ONLINE.