PETALING JAYA – Ramai guru termasuk kakitangan sekolah berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) di atas pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) bermula tahun depan.
Perkara itu dikongsikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Perkongsian tersebut meraih komen guru-guru yang menyambut baik pemansuhan itu dan berharap tiada penjenamaan semula di sebalik sistem tersebut.
“Sistem Sahsiah Diri Murid dimansuhkan, kini wujud dalam Sistem Bersepadu KPM. Tak mustahil sekadar penjenamaan semula. Sekiranya diganti, mohon sistem ini lebih baik,” komen Instan Maziedah Suzilla.
“Saya baru sampaikan berita gembira ini kepada seorang guru, katanya mesti selepas ini suruh isi di sistem atau laman web lain. Mungkin akan ada krisis kepercayaan jika ini berlaku,” komen Hamdi Rahman Mohd. Yaakob.
Sistem itu dipercayai menjadi penyebab tekanan ketika bekerja sebelum ini dan berita baik itu dapat mengurangkan bebanan serta tekanan darah tinggi dialami guru dan kakitangan sekolah.
Seorang pengguna Facebook, Sir Mark Zack mengakui ralat SPLKPM menjadi punca tekanan darah tingginya semakin teruk.
“Saya selaku Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dari tahun 2019 melakukan sujud syukur jika dimansuhkan kerana tekanan darah tinggi saya semakin tinggi.
“Sistem yang sangat menyusahkan. Sakit mata dan kepala nak buat pengesahan kursus guru.
“Kadangkala mengambil masa empat jam untuk menyiapkan pengesahan untuk empat orang guru sahaja,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Noorzalina Zainal Abidin turut berkongsi tuntutan minimum mata kredit tidak patut dimasukkan selain keseluruhan sistem yang sistematik.
“SPLKPM merupakan sistem perekodan latihan yang bagus, cuma jangan tetapkan minimum mata kredit yang perlu dicapai oleh guru.
“Pada awal-awal sebelum timbulnya mata kredit memang bagus dan sistematik kerana mudah untuk monitor kursus atau aktiviti latihan yang telah dijalani,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, KPM akan memansuhkan SPLKPM pada tahun hadapan sebagai usaha kementerian terbabit untuk mengurangkan beban guru.














