fbpx
Gambar hiasan

Tebus Sara bukan untuk makan besar tapi keperluan harian – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Barangan asas yang ditebus menerusi wang Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bernilai RM100 bukan digunakan untuk jamuan ‘makan besar’, malah pemberiannya bagi meringankan beban isi rumah.

Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata, pengguna di negara ini terutama kumpulan B40 dan M40 dinasihati agar menggunakan wang Sara dengan sebaik mungkin selain mengelak daripada sikap pembaziran.

“Gunakan wang Sara dengan bijak dan jangan tebuskan wang itu dengan membeli barang-barangan keperluan untuk mengadakan makan malam.

“Elak juga membeli barangan yang tidak penting atau hanya berbentuk kepuasan. Bantuan tunai ini membantu kita meringankan kos perbelanjaan harian.

“Ia sepatutnya digunakan untuk membeli barangan makanan seperti beras, minyak masak dan rempah ratus untuk isi rumah,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, penganut Hindu yang akan menyambut perayaan Deepavali pada 20 Oktober ini juga dinasihatkan supaya menggunakan wang bantuan tersebut dengan keperluan yang sihat dan berhemah.

“Jangan membelanjakan wang tersebut untuk barangan yang tidak perlu dan tidak diingini. Wang yang ditebus itu sepatutnya digunakan untuk membeli barangan makanan bagi menyambut Deepavali.

“Ada yang merungut hanya RM100 tetapi sebenarnya jika ada lima orang dalam sebuah isi rumah yang berumur 18 tahun ke atas, keluarga tersebut akan mendapat RM500.

“Dengan wang itu, mereka boleh membeli barangan keperluan untuk perayaan Deepavali. Ini akan mengurangkan banyak bebanan bagi keluarga B40 dan kerajaan telah memberikannya (Sara) pada masa yang tepat,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelasnya lagi, CAP juga mengingatkan pengguna supaya tidak tergesa-gesa membelanjakan wang bantuan Sara memandangkan tarikh akhir pengeluarannya adalah hingga 31 Disember nanti.

Umumnya, Sara merupakan program sumbangan yang bertujuan mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI