SUNGAI PETANI – Ibu kepada lelaki yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di tempat letak kereta di sebuah stesen minyak di Bandar Perdana petang semalam reda dengan pemergian anak keduanya itu.
Haton Hamid, 73, berkata, anaknya Amir Mat Isa, 51, sempat menunaikan solat maghrib sebelum keluar dari rumah mereka di Kampung Bukit Choras pada Isnin lalu.
“Saya sempat melihat dia menunaikan solat maghrib sebelum dia keluar menuju ke Sungai Petani sebelum gagal dikesan sejak itu sehinggalah ditemui meninggal dalam keretanya petang semalam.
“Dia merupakan anak yang mendengar kata dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada saya selama ini dan sebagai ibu saya merelakan pemergiannya itu,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Menurut Haton, dia mengucap syukur kerana anak kedua daripada tujuh beradik itu akhirnya ditemui walaupun sudah tidak bernyawa berikutan lelaki itu menghidap pelbagai jenis penyakit.
“Arwah tidak lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak Jun lalu. Dia duda dan mempunyai tiga anak berumur lapan hingga 25 tahun,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan yang dihubungi berkata, hasil keputusan sebab kematian mangsa hanya akan dapat diketahui dalam masa terdekat berikutan proses bedah siasat masih lagi dijalankan. – KOSMO! ONLINE