fbpx
SEORANG lelaki membakar jenazah Nurul Haque Molla di sebatang jalan di daerah Rajbari, Bangladesh semalam. – AFP

Perusuh gali kubur, bakar jenazah ulama mengaku Imam Mahdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DHAKA – Polis Bangladesh hari ini melancarkan operasi memburu suspek selepas beratus-ratus orang mencemari kubur seorang ulama kontroversi, dalam serangan yang meragut satu nyawa.

Puluhan makam telah diserang sejak kejatuhan dramatik bekas perdana menteri Sheikh Hasina pada Ogos tahun lalu apabila puak pelampau semakin berkuasa di Bangladesh yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Bagaimanapun, serangan semalam di tengah Bangladesh merupakan kes jarang berlaku di mana kubur digali dan jenazah  dicemari. Seorang saksi berkata, jenazah ulama Nurul Haque Molla digali dan dibakar.

“Kami mula mengenal pasti pelaku, dan tiada siapa yang akan terlepas,” kata superintendan polis daerah Rajbari, Md Kamrul Islam kepada AFP.

Perusuh dikatakan marah kerana batu nisan Molla menyerupai Kaabah di Mekah, tapak paling suci dalam Islam.

Molla yang  lebih dikenali sebagai Nura Pagla atau ‘Nura Gila’ mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi yang mengundang kecaman meluas.

Dia dikebumikan di Rajbari selepas meninggal dunia pada Ogos lalu tetapi majlis pengebumian tersebut dikatakan menyimpang daripada amalan penduduk Sunni, kata wartawan tempatan, Azaz Ahmed.

Penyokong Molla berjanji untuk mengubah kubur tersebut tetapi anggota kumpulan Islam dikenali sebagai Jawatankuasa Iman-Aqida Raksha menyerbu makam itu selepas solat Asar semalam.

“Kira-kira 2,000 orang bersenjatakan batang besi, tukul, dan kayu menyerbu makam Molla,” kata Islam.

Pihak berkuasa hospital berkata, seorang terbunuh dan kira-kira 50 cedera, tiga daripada mereka kritikal, dalam pertempuran antara perusuh dan penyokong Molla. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI