WASHINGTON – Seorang peguam Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai nama sama dengan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg bertindak menyaman platform media sosial popular itu, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Mark S. Zuckerberg berbuat demikian dengan alasan akaunnya sering digantung sambil dituduh secara salah ‘menyamar sebagai selebriti’.
Dia berkata, akaunnya telah dinyahaktif sebanyak lima kali sejak lapan tahun lalu menyebabkan dia mengalami kerugian beribu-ribu dolar dalam bentuk perniagaan yang hilang.
Tuntutan mahkamah peguam kebankrapan dari Indiana itu menyatakan, dia telah menjadi peguam selama 38 tahun sejak Mark E. Zuckerberg iaitu pengasas bersama Facebook yang kini antara individu terkaya di dunia, masih seorang kanak-kanak.
Meta berkata, pihaknya telah mengembalikan semula akaun peguam tersebut dan sedang mengambil langkah untuk mengelakkan kesilapan itu berulang.
“Ia bukan sesuatu yang kelakar,” kata peguam itu kepada stesen televisyen WTHR-TV di Indianapolis, Indiana.
Tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Marion itu menyatakan, Meta telah melanggar kontrak kerana peguam tersebut telah membayar AS$11,000 (RM46,000) untuk pengiklanan yang ‘diturunkan’ secara tidak wajar.
“Ia seperti membeli papan iklan di tepi lebuh raya, membayar kepada pihak yang menguruskan papan iklan itu dan kemudian mereka datang menutupnya dengan kain selimut besar dan anda tidak mendapat manfaat daripada apa yang anda bayar,” katanya kepada WTHR. – AGENSI