KLUANG – Kira-Kira 5,000 orang termasuk anggota daripada 49 kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Johor di Kluang hari ini.
Perarakan yang bermula pada pukul 8 pagi itu dihadiri oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan barisan Exco kerajaan negeri Johor.
Perarakan disertai pelajar Sekolah 9 kontinjen, Jabatan Kerajaan serta Badan Berkanun 25 Kontinjen dan Swasta atau Badan Bukan Kerajaan 15 kontinjen yang bertemakan “Membangun Ummah Maju Johor.”
Perarakan sejauh kira-kira satu kilometer bermula dari Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmood 1 hingga ke Masjid Bandar Kluang didahului kontinjen diketuai Tunku Ismail, Onn Hafiz serta barisan kepimpinan negeri Johor.
Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang acara yang dipertandingkan sempena sambutan berkenaan.-KOSMO! ONLINE