fbpx
AMIR turut bernasib baik menaikkan ikan siakap merah di lubuk batang paip.

Diserang ‘drakula merah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Nama ‘drakula merah’ dipilih berdasarkan gigi taringnya yang tajam dan badannya berwarna merah. Gigi taring yang menonjol di bahagian rahang itu digunakan untuk menangkap mangsa. Mangsa tidak akan dapat melepaskan diri daripada cengkaman gigi taringnya itu.

Ikan yang terkenal dengan sifat agresif dan kuat melawan ini selalu diburu pemancing muara. Kali ini, kami menggunakan bot mencari lokasi yang biasanya tidak dapat diakses oleh pemancing dari tebing di Sungai Madat, Kota Bharu, Kelantan. 

Lokasi-lokasi diterjah menggunakan bot ini selalunya di persisiran sungai yang dibarisi pokok-pokok nipah dan kawasan dalam airnya bereba. Apabila menggewang di kawasan berstruktur sebegini, kelengkapan memancing juga perlu dititikberatkan terutamanya alat penyelamat gewang (lure retriever) untuk mengeluarkan gewang yang tersangkut reba, tangguk ikan bersaiz besar dan parang bagi kegunaan ketika kecemasan.

Trip kali ini, kami menggunakan teknik menggewang, berpelampung dengan umpan hidup dan  pancing dasar. Bermula dari pengkalan bot, kami menyusur perlahan-lahan sambil mengintai lokasi yang menarik di sepanjang tebing sungai terutama sekali di jajaran pokok nipah. 

Di mana sahaja lokasi yang dirasakan berpotensi akan kami singgahi. Perlahan-lahan kami melabuhkan sauh dan cuba memujuk ikan dengan ketiga-tiga teknik pancingan itu sehinggalah jumpa ikan yang tertarik. 

Setiap lokasi yang disinggahi akan diluangkan masa selama lebih kurang satu jam. Sekiranya tiada sebarang sambaran daripada ikan, kami akan bertukar ke lokasi seterusnya.

Percubaan pertama

Singgahan pertama tidak membuahkan hasil, sauh diangkat lalu kami bergerak menyusuri tebing untuk ke lokasi seterusnya. 

Lubuk kedua ini kelihatan sangat berpotensi kerana ada tunggul pokok yang telah lama tenggelam di dasarnya. Sauh terus dilabuhkan, dan kami mencuba umpan udang hidup. 

Ternyata keputusan berlabuh di sini adalah tepat kerana tidak beberapa lama kemudian, umpan milik Hafiz terus dirampas ikan. Ketika saya hendak merakam aksi perlawanannya, umpan saya pula diusik ikan secara kasar. 

IKAN siakap merah di lubuk batang paip PVC bercampur-campur saiznya.

Joran saya terus disembat tetapi sayang, ikan berjaya menyelinap masuk ke dalam reba. Pada masa sama, Hafiz sudah berjaya menaikkan drakula merah pertamanya.

Saya usahakan juga menarik keluar ikan dari reba tetapi ia sudah menyelinap terlalu jauh dan membelit tali di reba. Terpaksalah saya menarik­nya sampai putus kerana ingin memberi laluan kepada rakan-rakan untuk memancing . 

Memandangkan lokasi ini ada ikan, kami cuba menunggu untuk sambaran ikan lain seterusnya. Namun mungkin akibat reba yang sudah bergoyang ketika saya cuba memutuskan tali tadi, kumpulan  ikan meminggirkan diri dari kawasan sekitar reba. 

Lubuk ditinggalkan, dan kami menyusuri sungai semula sehinggalah jumpa satu lokasi dengan satu paip PVC terapung di permukaan air. 

Batang paip itu diikat kemas pada pohon nipah seolah-olah dijadikan penanda bagi si pembuatnya. 

Mungkin ia lubuk ikan, dan kami terus berlabuh berhampirannya. Kami juga meninjau bahagian dasarnya mencari bayang-bayang struktur tetapi tidak kelihatan satu pun. 

Lubuk drakula merah

Kami terus melabuhkan umpan di kawasan sekitarnya. Baru beberapa saat umpan dilabuhkan, ikan terus membaham umpan Danish. Bila ikannya besar, sudah pasti perlawanan teramatlah padu. 

Pada masa sama, kami semua menerima tarikan hampir serentak daripada penghuni di dasar. Kami saling memandang antara satu sama lain, seolah-olah bingung dengan apa yang terjadi. 

Misterinya, semua ikan gagal ditewaskan, ada yang terus putus dan ada sangkut kerana ikan berjaya membenam masuk ke dalam kawasan berstruktur. 

Rupa-rupanya di dasarnya bereba banat, sebab itulah mungkin ia bertanda.

IKAN siakap merah yang menjadi bonus di trip susulan.

Di percubaan seterusnya, kami betul-betul bersedia dengan mengetatkan sistem tekanan drag kekili dan memegang joran sebaik sahaja umpan dilabuhkan. 

Jadi, setiap ‘ragutan’ ikan terhadap umpan dapat ditangani dengan pantas sebelum ia dapat berpusing balik dan masuk ke dalam reba. 

Ternyata, ikan betul-betul galak membaham umpan sehinggakan saya tidak sempat merakam suasana pan­cingan kerana terlalu asyik menaikkan ikan. 

Silih berganti kami menaikkan drakula merah dengan pelbagai saiz, ada yang kecil dan ada besar. 

Selain ikan siakap merah, kami juga dapat ikan bulan dan sembilang yang berkongsi lubuk sama.

Beberapa hari kemudian, Danish bersama rakan-rakannya sekali lagi mencuba nasib di lubuk batang paip PVC itu. Sewaktu dia sedang memancing, datanglah tuan empunya yang menandakan lubuk, lalu berbi­cara dengannya. 

Menurutnya, di dasar lubuk itu terdapat lima biji culvert simen saiz kecil yang ditenggelamkannya untuk dijadikan tempat perlindungan ikan berupa tukun buatan. 

Alhamdulillah, dia sudah mewakafkan lubuk tersebut kepada sesiapa yang mahu memancingnya. 

Pada sesi pancingan itu, Danish telah berjaya menaikkan seekor ikan siakap putih berskala lebih kurang tiga kilogram dan beberapa ekor drakula merah yang bercampur-campur saiznya.  Semoga yang empunya lubuk mendapat rahmat daripada Allah SWT atas kemurahan hatinya berkongsi rezeki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN