KUALA LUMPUR – Dakwaan wujud penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri beras yang berpotensi membentuk struktur seperti kartel adalah tidak berasas.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, satu kajian am ke atas industri padi dan beras telah pun dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada tahun 2024.
“Hasil kajian tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember 2024.
“Berdasarkan kajian, MyCC tidak menemui sebarang amalan anti persaingan atau apa-apa isu yang bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta Persaingan 2010,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris berhubung hasil kajian MyCC terhadap penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri beras.
Arthur berkata, kementerian sedang melaksanakan reformasi menyeluruh dalam industri padi dan beras secara berfasa sejak bulan Oktober 2024.
Menurut beliau, ia bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.
Kata beliau, antara agenda utama sedang dilaksanakan di bawah reformasi industri padi dan beras adalah menekankan keperluan untuk menilai kerangka perundangan sedia ada.
Jelasnya, penilaian itu penting sebagai respons kepada pelbagai isu termasuk ketidakseimbangan dalam ekosistem industri serta dakwaan mengenai manipulasi bekalan melalui aktiviti percampuran beras.
“Dapatan dan syor MyCC turut diambil kira demi mewujudkan persekitaran yang adil di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras,” katanya. – KOSMO! ONLINE