fbpx

Cemas, kapal misi ke Gaza didatangi dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Ardell Aryana berkongsi detik cemas apabila kapal yang dinaikinya bersama pasukan misi kemanusiaan ke Gaza dihampiri sebuah dron, semalam.

Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, memaklumkan mereka diminta bersedia dengan pasport masing-masing selepas menerima arahan daripada kapten kapal.

“Pukul 10.26 malam, kami terpaksa terburu-buru pakai kasut untuk keluar sebab ada dron atas kepala kami.

“Doakan kami supaya kapal dinaiki dapat meneruskan misi.

“Kami diminta oleh kapten untuk sediakan pasport dan naik ke atas kapal,” katanya dalam sebuah rakaman menerusi Instagram Cinta Salam Malaysia.

Dalam masa sama, Ardell menyatakan keadaan kembali terkawal dan menyifatkan dron tersebut mungkin sekadar pemantau dari negara berdekatan.

“Alhamdulillah, semuanya selamat. Kami percaya ini hanyalah dron pemantau dari negara-negara terdekat.

“Apa pun, menghantar dron ke arah kapal yang membawa misi kemanusiaan adalah bentuk psikologi untuk melemahkan para peserta,” jelasnya.

Selain itu, isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu menitipkan doa buat keluarganya di tanah air dan berjanji membawa semangat anak-anaknya untuk disalurkan kepada kanak-kanak di Gaza.

“Semoga pasukan-pasukan saya dalam keadaan baik, kami terpisah.

“Bagi anak-anak, saya bawa semangat mereka untuk anak-anak di Gaza.

“Untuk mama, insya-Allah kalau lepas masuk ke Gaza saya akan peluk anak-anak kecil di sana seperti saya peluk mama,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi Zizi Kirana turut berkongsi mengenai insiden kapal didatangi dron sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan semua peserta dan anak kapal misi terbabit.

Terdahulu, pada 28 Ogos lalu Ardell bersama penyanyi, Zizi Kirana berangkat ke luar negara bagi menyertai Misi Global Sumud Flotilla.

Difahamkan lebih 50 kapal dari 44 negara kini belayar ke Gaza bagi mencabar sekatan haram Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan mendesak kepada penduduk Palestin yang berdepan kebuluran.

Konvoi pertama terdiri daripada puluhan bot kecil membawa aktivis, doktor, sukarelawan kemanusiaan serta bekalan asas berlepas dari pelabuhan di Sepanyol pada 31 Ogos sebelum bergabung dengan kumpulan kedua di Tunisia pada 4 September.

Penganjur menegaskan Flotila Global Sumud merupakan simbol solidariti rakyat antarabangsa, menuntut sekatan ke atas Gaza dihentikan serta menamatkan penderitaan berjuta penduduk Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN