Lima bulan lalu, ramai yang seolah mengalu-alukan perpisahan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kerana di mata dilihat semacam ‘tidak serasi’, walhal jika disorot, ia persepsi yang cukup dangkal memandangkan duo ini hakikatnya sudah terbukti berjaya sebagai gandingan beregu campuran badminton seawal remaja.
Mujurlah mereka tidak lama berpisah dan meminta kembali berganding. Jika tidak, mungkin kita semua tidak mengecapi kegembiraan seperti hari ini apabila mereka bergelar juara dunia sekali gus menjadi hadiah kemerdekaan paling bermakna.
Lagu Negaraku yang berkumandang di bumi Paris, Perancis pada tanggal 31 Ogos lalu meruapkan rasa bangga dalam sanubari kita semua apabila ‘ChenToh’ dinobatkan sebagai juara beregu campuran di Kejohanan Dunia Badminton 2025 sekali gus menjadi beregu campuran pertama Malaysia yang bergelar juara dunia.
Di aksi final, ChenToh selaku pilihan keempat mengalahkan pemain pilihan kedua yang juga merupakan bekas beregu No.1 dunia yang kini menghuni No.2 dunia, Jiang Zhen Bang- Wei Ya Xin dengan kemenangan bergaya straight set 21-15, 21-14.
Sejak remaja, magis gandingan Tang Jie dan Ee Wei sudah pun tercetus apabila berjaya meraih gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Sepanyol. Bayangkan mereka ketika itu yang masing-masing berusia 18 tahun dan 16 tahun yang juga merupakan debut Ee Wei dilaporkan berjaya mencapai kejayaan tersebut hanya selepas seminggu berlatih bersama.
Media pada masa itu melaporkan potensi hebat yang boleh dilakar Ee Wei kerana ‘kepakaran’ dalam dua sektor pada masa depan.
Di biodata BWF Tang Jie sendiri selama ini tertera bahawa kejayaan gangsa kejohanan remaja dunia bersama Ee Wei itulah pencapaian yang tidak boleh dilupakannya.
Meskipun Ee Wei dilihat hebat dalam beregu campuran, pencapaiannya lebih menyerlah dalam beregu wanita bersama Pearly Tan apabila berjaya merangkul Naib Juara Remaja Dunia 2018.
Namun, takdir telah menentukan yang dia terpisah daripada Pearly apabila Ee Wei mengalami masalah kesihatan kronik sehingga menyebabkan gadis dari Melaka itu mengumumkan bersara.
Sekembalinya Ee Wei ke arena badminton daripada persaraan sementara, Pearly sudah berpasangan dengan M. Thinaah dan membentuk gandingan ampuh lalu dia dilihat lebih menjadi sandaran bagi beregu campuran dengan digandingkan bersama Choong Hon Jian diikuti Hoo Pang Ron.
Sementara jejaka Ipoh, Tang Jie pula setelah beralih ke peringkat senior diberi kepercayaan untuk berganding dengan ratu badminton, Goh Liu Ying yang baru pulang dari kecederaan diikuti bersama Peck Yen Wei yang kemudian dihantui kecederaan serius.
Segala yang terjadi telah mendorong takdir mempertemukan kembali gandingan Tang Jie dan Ee Wei pada tahun 2022. Hanya dalam tempoh satu tahun mereka berjaya menembusi top 10 dunia dan kini ketiga dunia, semakin hampir menuju takhta ranking.
Semoga ChenToh terus merintis kejayaan besar buat negara tercinta. Mungkin emas Olimpik pula, siapa tahu?
















