fbpx
Zakaria (tengah) menunjukkan pasport palsu yang dirampas oleh pihaknya. Foto JIM.

Sindiket pemalsuan pasport didalangi warga asing tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur pada semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas yang bermula pukul 9.40 pagi itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas tiga minggu risikan dijalankan.

Katanya, dalam serbuan tersebut, lima lelaki warga Bangladesh berusia 19 hingga 41 tahun ditahan termasuk dua individu yang dipercayai dalang utama.

“Semakan mendapati tiga daripadanya memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, seorang memiliki pas pelajar manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pasukan operasi turut menyita lapan pasport Bangladesh, pasport India (satu), pasport Bangladesh disyaki palsu (tiga), pasport Indonesia disyaki palsu (empat) serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan pasport tiruan.

“Turut dirampas kulit pasport pelbagai negara, set komputer, pencetak, alat pemotong, telefon bimbit serta wang tunai RM2,100 selain sebuah kenderaan Perodua Aruz turut disita,” jelasnya.

Menurut Zakaria, sindiket yang mula beroperasi sejak tiga bulan itu menawarkan perkhidmatan pasport palsu negara seperti Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Nepal dan Indonesia dengan kadar bayaran RM150 hingga RM250 setiap satu.

“Sindiket ini menjadikan kediaman mewah sebagai pusat operasi untuk mengaburi pihak berkuasa dan menggunakan ejen warga Bangladesh bagi mencari pelanggan yang ingin mendapatkan pasport bagi tujuan pemeriksaan kesihatan FOMEMA,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Zakaria menegaskan, pihaknya komited melaksanakan penguatkuasaan berterusan secara tegas bagi membanteras aktiviti melanggar undang-undang demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI