fbpx
Mohd. Kamarohzaman menunjukkan pembahagi jalan konkrit dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur wilayah sempadan Rantau Panjang semalam.

‘Nak dapat seorang pelanggan pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Lebih 500 peniaga mendakwa kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur wilayah sempadan Rantau Panjang menyekat rezeki, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Dakwa peniaga, pembinaan dinding penghadang setinggi tiga meter di tapak projek ber­kenaan selain pemasangan pembahagi jalan konkrit di simpang empat utama sejak setahun lalu, mengakibatkan banyak lot kedai swasta seperti Bazar Putri, Bazar Impian seolah-olah ‘tersorok’ daripada pandangan orang.

Situasi itu dakwa mereka, memberi kelebihan kepada bazar milik Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) kerana laluan sehala terus ke premis berkenaan.

Wakil peniaga, Mohd. Kamarohzaman Ibrahim, 63, berkata, dia bersama peniaga lain telah berjumpa dengan pemimpin tempatan serta pihak MDPM berhubung isu tersebut, namun masih belum mendapat jawapan.

“Tindakan pihak berkaitan meletakkan pembahagi jalan konkrit sejak setahun lalu menyebabkan pengunjung tertumpu di kawasan bazar MPDM sahaja. Bila pengunjung tiba di pembahagi jalan konkrit di simpang empat itu, mereka akan terus ke bazar MDPM.

“Sedangkan di kawasan itu (simpang empat) pengunjung boleh membelok ke kanan untuk membeli belah di lot kedai kami tetapi disekat oleh pembahagi jalan tersebut,” katanya semalam.

Peniaga lain, Nurul Nazatul Ain Mah Hussain, 36, membe­ritahu, kantung kewangannya semakin meruncing selepas din­ding penghadang projek dinaik­kan dua minggu lalu kerana lot kedai terlindung, sekali gus kurang mendapat perhatian daripada pelanggan.

“Hendak dapat seorang pe­langgan pun susah. Kalau projek ini siap dua atau tiga tahun lagi, entah berapa ramai peniaga yang masih bertahan,” ujarnya.

Peniaga lain, Nur Aisyah Nik Yahya, 38, berkata, rata-rata peniaga swasta menanggung kos sewa antara RM500 hingga RM1,000 sebulan, namun jualan semakin hambar.

“Sekarang pun banyak kedai kosong kerana peniaga tidak mampu bertahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN