fbpx
TERUS berjuang, Noraniza Idris (tengah) bersama anak-anak muda yang kini dididik sebagai pelapis seni tari demi warisan untuk generasi akan datang. – SHIDDIQIEN ZON

‘Bukti saya tak main-main, biar kekal 100 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INGIN mencari ‘pewaris’ budaya, itu menjadi fokus utama Noraniza Idris ketika ini yang mahu warisan negara terutama seni tarian tidak ditelan dek zaman.

Bagi Noraniza, zaman serba moden hari ini menyukarkannya untuk mencungkil bakat daripada generasi muda untuk mencari pelapis penari tradisional terutama tarian zapin.

Katanya, perkara tersebut membuatkan hatinya gusar kerana khuatir tiada pelapis yang akan meneruskan seni warisan budaya tersebut.

“Saya sudah kenal pasti kita kurang penari zapin dalam kalangan generasi muda sejak 2012 selepas menganjurkan beberapa program.

“Realiti sekarang ialah kita sudah ketandusan pemain zapin dan sekarang cuma nampak ramai penari tapi mereka hanya menghafal gerak tari.

“Hakikatnya mereka tidak ada ilmu tentang ‘ragam’ bermain zapin yang sebenar, bukan setakat menari ikut ‘step’ sahaja,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tambahnya yang aktif menganjurkan program mencari pelapis penari, generasi zaman sekarang perlu berbangga memiliki pelbagai warisan seni budaya.

“Zaman sekarang semuanya di hujung jari dan semua bebas memilih apa yang mereka minat.

“Kita sebagai generasi terdahulu terutama ibu bapa perlu mendidik bahawa budaya dan warisan negara juga perlu didalami. Tapi semua itu tak boleh dilakukan secara paksaan sebab nanti lagi mereka tolak,” ujarnya.

Atas kesedaran sendiri melihat ketandusan pelapis khususnya dalam tarian zapin, Noraniza melancarkan projek Ikon Kebudayaan &

Pelancongan Antarabangsa 2025 ‑ 2027, Transcultural Ethnic Rhythms of Malaysia & Asia (TERMA).

Ujarnya, TERMA bertujuan menjulang semula seni dan budaya khususnya Irama Tradisional yang semakin hilang ditelan arus kemodenan.

“Buat masa ini, sebanyak enam negara yang terlibat untuk TERMA antaranya China, India, Sri Lanka, Thailand dan Indonesia sekali gus mengangkat pelancongan serta identiti Malaysia.

“Kita akan menjadi wakil kepada Malaysia untuk bawa budaya kita ke luar negara dan inilah peluang saya.

“Ini cara untuk buktikan bahawa saya tak pernah main-main dan mahu usaha tersebut kekal hingga 100 tahun lagi,” jelasnya.

Katanya, TERMA bukan sekadar festival, sebaliknya misi memperkenalkan rentak, irama dan gerak tari pelbagai bangsa dari Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa sebagai bahasa sejagat.

Seiring projek tersebut, Noraniza turut melancarkan inisiatif Roots of Zafana dengan penubuhan Zapin Living Lab, arkib digital dan fizikal yang mendokumentasikan penulisan, kajian serta variasi zapin di seluruh Malaysia.

“Jika dahulu pencarian budaya saya diterjemahkan melalui lagu Irama Malaysia, kini saya mahu melahirkan arkib zapin untuk generasi pelapis.

“Roots of Zafana akan menjadi sumber rujukan warisan yang bertahan lebih 100 tahun akan datang,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut mengenai TERMA yang bakal menjadi festival bertaraf antarabangsa serta menghimpunkan pelbagai budaya dari negara-negara Asia.

“Program ini dianjurkan Persatuan Tatihseni Malaysia bersama Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya sebagai rakan strategik rasmi dan disokong oleh Kerajaan Negeri Selangor serta JKKN bersempena Festaria’25.

“Festival ini akan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2025 di Shah Alam, dengan penyertaan kategori, 7 – 12 tahun, 13 – 17 tahun dan 13 tahun ke atas (terbuka).

“Pemenang peringkat kebangsaan akan mara ke pentas antarabangsa untuk merebut Platinum, Gold, Silver dan Bronze Award, menjadikan Malaysia pusat rujukan tarian rakyat Asia,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI