BANGKOK – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun ditemui sedang berjalan kaki bersama anjing peliharaannya di tepi sebatang jalan bagi mencari ibunya yang berada pada lokasi sejauh 30 kilometer, lapor laman berita Thaiger semalam.
Dalam kejadian kelmarin, seorang penunggang motosikal melihat kanak-kanak lelaki itu cuba menahan kereta yang lalu-lalang untuk menumpang.
Namun, tiada kenderaan berhenti, membuatkan dia memberhentikan motosikalnya di Jalan Buraphaphat, Map Ta Phut dalam wilayah Rayong.
Ketika ditanya, kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia mahu mencari ibunya yang melarikan diri dari rumah kerana bertengkar dengan bapanya.
Menurut kanak-kanak itu, ibunya berada di rumah saudara mereka.
Jarak dari rumah kanak-kanak itu dengan lokasi ibunya adalah 30 kilometer dan ketika ditemui, dia sudah berjalan kira-kira 5 kilometer.
Kanak-kanak itu yang ditemani anjingnya, kemudian dibawa ke balai polis sebelum dia dihantar ke lokasi ibunya.
Namun ketika berada di pertengahan jalan, mereka bertembung dengan si ibu yang terkejut apabila mendapat tahu tentang rancangan anaknya.
Kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat dan dibawa pulang oleh ibunya. – AGENSI