DAHULU, dunia pernah terpukau dengan Hatsune Miku iaitu idola maya dari Jepun yang mencetuskan fenomena global pada pertengahan 2000-an.
Seiring perkembangan teknologi, Malaysia turut melakar sejarah tersendiri dengan lahirnya kumpulan gadis K-pop maya pertama di rantau ini iaitu The Alice Experiment (TAE).
Kumpulan itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan (AI).
TAE bukan sekadar sebuah kumpulan muzik, sebaliknya ia adalah projek hibrid yang menggabungkan muzik, teknologi AI, visual sinematik dan penceritaan kreatif.
Idea untuk mewujudkan TAE bermula daripada visi seorang penerbit muzik dan pengarah kreatif, Raz Gabriel Sho bersama Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal.
Menurut Raz, TAE menjadi bukti gabungan seni dan teknologi boleh membuka jalan baharu dalam industri hiburan.
“Idea ini bermula lebih dua tahun lalu ketika saya teringat pengalaman menghasilkan muzik di Amerika Syarikat.
“Sejak dulu, saya impikan sebuah kumpulan rock wanita yang benar-benar berbeza.
“Namun, realitinya bekerja dengan manusia penuh cabaran.
“Dari situlah, keinginan membina kumpulan impian menggunakan AI, di mana kawalan kreatif boleh dilakukan sepenuhnya,” katanya pada majlis pelancaran rasmi TAE di Pitt Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, TAE membuktikan bahawa muzik dan teknologi boleh wujud dalam simbiosis yang unik dengan gabungan kreativiti manusia, kuasa AI serta penceritaan visual.
Ini membuka lembaran baharu dalam muzik digital, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pelopor hiburan maya global.
Kongsi Raz, TAE menampilkan empat ahli maya wanita iaitu Alice yang memegang peranan vokal dan piano, Tae (pemain bass dan vokalis rap), Kai (gitar, biola, produksi) serta Rumi (dram, perkusi).
Walaupun hanya wujud dalam bentuk digital, namun setiap ahli mempunyai personaliti, latar belakang dan jalan cerita tersendiri, seolah-olah mereka hidup.
Bagaimanapun, Raz mengakui perjalanan mencipta identiti itu penuh cabaran.

“Pada awalnya, ahli kumpulan hanyalah avatar muzik semata-mata.
“Selepas banyak kali diperhalusi dari segi visual, bunyi dan lirik, akhirnya terbentuklah versi akhir yang kita kenali sekarang. Hanya watak Tae yang kekal konsisten dari mula hingga akhir.
“Muzik yang dihasilkan pula tidak kehilangan sentuhan manusia.
“Lagu-lagu mereka seperti Shackles dan Rock With Me menampilkan gabungan riff gitar berat, rap-metal, elektronik moden serta sentuhan klasik biola,” ujarnya.
Katanya lagi, lirik pula ditulis berdasarkan pengalaman peribadinya yang penuh emosi, sebelum diperkayakan dengan AI untuk menghasilkan sesuatu lebih segar dan mendalam.
Album sulung mereka, Resurgence digambarkan sebagai perjalanan sinematik tentang kesakitan, kehilangan serta perjuangan untuk bangkit semula.
Para pendengar memuji kedalaman emosi yang ditemui dalam projek muzik maya itu.
Malah sejak dari awal, lagu TAE sudah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik underground.
Melihat idea Raz sebagai satu peluang unik, Rizal yang sudah lama mengenali pemuda digelar sebagai ‘gila’ kreatif itu berasa yakin dengan keupayaan kumpulan K-pop maya dalam mengubah landskap hiburan semasa.
Jadi, Rizal berperanan menjadikan idea itu sebagai realiti, bernilai komersial dan berpotensi menembusi pasaran global.
Ujar Rizal, pelancaran rasmi TAE juga menampilkan kolaborasi dengan pemain biola elektrik terkenal Malaysia, Dennis Lau.
“Persembahan itu bukan sahaja unik, malah mencatat sejarah apabila ASEAN Records Book mengiktiraf TAE sebagai kumpulan AI wanita pertama di rantau ini yang menghasilkan muzik, vokal dan ada identiti tersendiri.
“Kolaborasi bersama Dennis juga diiktiraf sebagai yang pertama, di mana seorang pemuzik instrumental beraksi secara langsung bersama kumpulan wanita maya di pentas nyata,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi itu menjadi bukti bahawa hiburan masa depan tidak lagi terhad kepada dunia fizikal semata-mata, malah boleh mempertemukan realiti dan fantasi.
Menurut Raz, ramai menyangka penggunaan AI menjadikan kerja lebih mudah, namun realitinya kompleks.
Jelasnya, AI bukan sihir, sebaliknya ia seperti rakan kreatif yang ada kehendak sendiri.
Ada masanya, AI bekerjasama dengan baik, ada ketika ia tidak selari dengan idea dirancang.
Namun, sebaik sahaja aliran kerja tepat ditemui, hasilnya menjadi sesuatu yang ajaib.
Misalnya, proses menghasilkan video muzik boleh mengambil masa berminggu-minggu kerana melibatkan kos perisian tinggi, visual tiga dimensi (3D) dan algoritma AI yang memerlukan penyesuaian berulang kali.
Namun, di situlah letaknya nilai seni TAE, di mana projek itu membuktikan teknologi tidak semestinya menggantikan seni, sebaliknya boleh memperkayakannya.
“Apa yang menjadikan TAE lebih menarik adalah visinya yang melangkaui muzik semata-mata.
“Saya dan Rizal mahu membina sebuah ‘alam sinematik’, di mana peminat boleh berhubung dengan ahli kumpulan seperti menghayati filem atau anime kegemaran.
“Perancangan masa depan termasuklah penghasilan filem pendek dengan jalan cerita penuh aksi, kandungan animasi, permainan video serta barangan rasmi.
“Malah, sebuah buku ‘lore’ dan kamus khas juga sedang disiapkan untuk memperkukuhkan naratif dunia TAE,” ujarnya.
Kongsinya lagi, sambutan terhadap kumpulan itu amat memberangsangkan, dan mereka optimis dengan masa depan TAE.
Bagi Rizal, matlamat TAE adalah jelas iaitu menjadi sebuah gerakan global yang mampu bersaing di peringkat tertinggi muzik dan hiburan.
“Walaupun lahir di Kuala Lumpur, namun projek ini ditujukan untuk seluruh dunia.
“Dari sekadar impian seorang pemuzik yang mahu membina kumpulan idamannya, TAE kini berdiri sebagai simbol revolusi hiburan digital Asia.
“Dengan gabungan muzik, teknologi AI, penceritaan visual dan kreativiti manusia, TAE bukan sahaja menolak sempadan muzik tradisional, malah membuktikan Malaysia mampu menjadi pencetus trend global,” ujarnya.














