PETALING JAYA – Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan rasa dukacita kerana masih ada negara Arab Teluk dan negara Islam dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menjalin hubungan dagang dan diplomatik dengan Israel.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama itu berterusan disebalik kekejaman berterusan rejim Zionis yang semakin rakus melakukan ‘genocide’ terhadap rakyat Palestin.
“Bahkan menjadi laluan transit serta pembekal keperluan yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Zionis.
“Ironinya, ada ketikanya mereka boleh bersatu menyerang Yaman, tetapi gagal bersatu berdepan Israel yang didukung kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad, ketika ini rakyat Eropah dan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia lebih lantang membela hak asasi rakyat Palestin berbanding sebahagian negara Islam hanya mengecam, tetapi menjalin hubungan akrab dengan Zionis.
Sehubungan itu, katanya, Amanah menyeru seluruh negara umat Islam khususnya negara Arab Teluk dan negara Islam dalam NATO bangkit dengan keberanian dan kesatuan.
“Jangan biarkan hanya segelintir pihak seperti Iran dan Yaman menanggung beban perjuangan menentang Zionis. Amanah akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE