JAKARTA – Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Eko Patrio merayu kepada individu yang mengambil kucing peliharaan dari rumahnya agar memulangkan haiwan itu, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Salah seekor kucing peliharaan bekas pelawak itu dilarikan orang ramai yang menyerbu rumahnya minggu lalu.
Dalam satu hantaran di laman Instagram, Eko berkongsikan video detik kucingnya yang bernama River dijarah perusuh.
Dia turut meluahkan rasa rindu kepada haiwan itu.
“Saya rindukan awak River,” kata keterangan hantaran itu beserta emoji menangis.
“Sesiapa yang mengambil kucing Eko Patrio atau Uya Kuya (seorang lagi ahli DPR), tolong kembalikan segera,” kata satu hantaran lain yang dikongsikan semula oleh Eko.
Sehingga kini, Eko tidak menceritakan secara terperinci mengenai insiden pejarahan yang berlaku di rumahnya. – AGENSI