BANGKOK – Sekumpulan anggota penyelamat bingung ketika memberi bantuan kepada seorang lelaki yang dikatakan mengalami kekejangan akibat dicekik hantu, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Kejadian berlaku sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan) semalam di sebuah kawasan pembinaan di Phan Thong, wilayah Chon Buri.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota penyelamat mendapati Jirasak Photichalang, 35, berada dalam keadaan gelisah.
Beberapa ahli keluarga cuba menghalangnya ketika mangsa menjerit sambil memberitahu bahawa dia dicekik hantu.
Anggota penyelamat berkata, pesakit tidak mengalami sawan, sebaliknya berada dalam keadaan histeria.
Menurut keluarga pesakit, dia tidak pernah menunjukkan kelakuan sedemikian sebelum ini dan tidak mengambil minuman beralkohol dalam jumlah yang banyak.
Lelaki itu berjaya ditenangkan sebelum dia dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. – AGENSI