SONGKHLA, THAILAND – Seorang lelaki rakyat Malaysia yang ditahan bersama dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru di Danok, dekat sini kelmarin mengaku diupah sebanyak RM10,000 untuk menyeludup senjata tersebut ke negara asalnya.
Sumber Ibu Pejabat Polis Daerah Sadao berkata, lelaki terbabit membuat pengakuan berkenaan semasa sesi soal siasat yang dijalankan semalam.
“Siasatan mendapati, suspek telah empat kali berulang alik memasuki Thailand. Suspek gagal menyeludup senjata api itu kali ini selepas dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Danok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru dalam satu sekatan jalan raya di Danok, Sadao di sini kelmarin.
Suspek berusia 42 tahun itu dicekup kira-kira pukul 5.35 petang ketika memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kanchanawanit, di sini.
Ketua Polis Daerah Sadao, Kolonel Surachit Petchom berkata, hasil pemeriksaan menjumpai dua laras raifal jenis M16 yang sebahagiannya telah dileraikan di bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut.
Menurutnya selain itu, sebanyak 450 butir peluru pelbagai saiz di dalam tujuh katrij turut dijumpai di dalam kereta tersebut dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah. – KOSMO! ONLINE